HLB rangkul dua anugerah Bank Digital Terbaik 2021 - Utusan Malaysia

HLB rangkul dua anugerah Bank Digital Terbaik 2021

Hong Leong Bank
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hong Leong Bank (HLB) merangkul dua anugerah untuk Bank Digital Terbaik di Malaysia 2021 daripada industri perbankan dan kewangan antarabangsa, Asiamoney dan portal teknologi kewangan, The Digital Banker, baru-baru ini.

HLB diiktiraf kerana memberi pengalaman perbankan digital yang lebih cekap, bermakna dan bersepadu untuk pelanggannya.

Pengarah Utusan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Domenic Fuda berkata, HLB melaksanakan strategi ‘Teras Digital’ untuk mengubah cara mereka membangunkan produk dan menyampaikan produk, perkhidmatan dan pengalaman untuk pelanggan serta untuk bekerjasama menjalankan perniagaan dengan rakan kongsi sebelum pandemik Covid-19.

“Pandemik memberikan hasil yang luar biasa daripada strategi digital kami dan perjalanan dalam mewujudkan omnichannel kepada perkhidmatan perbankan yang memenuhi sasaran segmen yang berbeza.

“Salah satu sorotan strategi itu ialah dapat berinovasi dan melibatkan kanak-kanak yang mahir menggunakan teknologi kewangan dan celik alam sekitar melalui platform mudah alih interaktif.

“Inovasi kami adalah untuk menjadikan perbankan mudah untuk pelanggan. Oleh itu, inovasi bank tidak terhad kepada platform perbankan digital tetapi juga di cawangan fizikal kami,” katanya dalam kenyataan.

Pada hujung 2020, HLB telah menjadi bank pertama di Malaysia yang berjaya melancarkan akaun digital sepenuhnya melalui proses Apply@HLB yang memanfaatkan teknologi eKYC.

Dengan eKYC, HLB juga menjadi bank pertama di Malaysia yang mempunyai kedai e-dagang rasmi di Shopee Malaysia di mana pelanggan boleh membeli akaun bank dengan mudah.

Itu merupakan dua penyelesaian daripada HLB yang menawarkan perkhidmatan perbankan kepada pelanggan secara digital pada bila-bila masa dan dimana sahaja tanpa perlu pergi ke cawangan fizikal.

Malah, lebih 45 peratus transaksi kewangan kini dilakukan di luar cawangan melalui HLB Connect.

Sementara itu, Ketua Pegawai Digital dan Inovasi HLB, Shailesh Grover berkata, dengan adanya CX Lab, hab kebolehgunaan produk, perkhidmatan dan ruang inkubator permulaan yang dipanggil HLB Jumpstart@65 di pusat bandar Kuala Lumpur dan sebuah platform komuniti dalam talian pelanggan iaitu Designed By You yang membantu membentuk produk yang ingin dilihat daripada bank, strategi bank menggabungkan kedua-dua inovasi teknologi digital dengan intropeksi mendalam terhadap pengalaman dan keperluan pelanggan.

Jelasnya, oleh kerana cawangan fizikal dianggap sebagai simbol kepercayaan dan keselesaan untuk pelanggan, pihaknya telah menggunakan konsep ‘fizital’ yang menggabungkan fizikal dan model digital untuk menyampaikan perkhidmatan lebih lancar dan cekap.

“Itu membolehkan pelanggan memanfaatkan kemudahan digital yang diperkenalkan di cawangan seperti tablet yang bertujuan untuk mengurangkan kertas kerja dan masa menunggu, menggunakan kemudahan perniagaan, atau bercakap dengan kakitangan bank tentang produk dan perkhidmatan terutamanya transaksi bernilai tinggi dan nasihat kewangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN