PETAING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan Kertas Perbincangan Mengenai Rangka Kerja Pelesenan untuk penangung insurans dan pengendali takaful digital.
Menurut BNM dalam kenyataan, kertas perbincangan itu menggariskan rangksa kerja yang dicadangkan untuk pelesenan penanggung insurans dan pengendali takaful digital (DITO) baharu bagi menggalakan inovasi digital dalam sektor insurans dan takaful.
Jelasnya, kertas perbincangan itu juga menjadi pelengkap kepada inisiatif BNK tentang bank digital dan pendigitalan sektor kewangan.
DITO dijangka menyumbang ke arah sektor insurans dan takaful yang lebih inklusif, berdaya saing dan cekap, selaras dengan keperluan pengguna yang berubah.
“Cadangan rangka kerja ini bertujuan menarik minat peserta digital baharu yang boleh menawarkan penyelesaian inovatif yang mampu menangani jurang perlindungan kritikal dalam kalangan segmen pasaran yang tidak mendapat perkhidmatan kewangan dan segmen yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan (unserved and underserved market segments) serta menambah baik pengalaman pelanggan dan mempertingkatkan keyakinan pelanggan,” kata Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus.
BNM berkata, rangka kerja itu akan menggunakan pendekatan seimbang dengan fokus utamanya adalah untuk menggalakkan inovasi yang lebih signifikan, di samping menggalakkan kestabilan kewangan dan melindungi kepentingan pengguna.
Kertas Perbincangan itu merangkumi keperluan penyertaan seperti kriteria dalam penilaian permohonan dan keperluan modal serta mengkaji model perniagaan baharu misalnya perkongsian risiko.
“Bank berhasrat untuk mengeluarkan Draf Dedahan setelah mendapat maklum balas melalui Kertas Perbincangan tersebut.
“Selepas itu, Dokumen Dasar mengenai keperluan kehematan dan amalan perniagaan untuk DITO akan dikeluarkan pada 2022. Permohonan untuk lesen DITO akan dibuka pada tarikh yang akan diumumkan kemudian. Bank mempelawa maklum balas bertulis tentang Kertas Perbincangan selewat-lewatnya pada 28 Februari 2022,” jelasnya. – UTUSAN










