PETALING JAYA: Kerajaan digesa mengambil langkah-langkah yang lebih pragmatik bagi membantu kelangsungan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), seterusnya mencapai sasaran pemulihan ekonomi tahun ini.
Langkah tersebut penting memandangkan negara masih jauh daripada sasaran pemulihan Covid-19 sepenuhnya berikutan keadaan semasa yang tidak menentu, ditambah dengan situasi banjir yang melanda kini.
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abd. Halim Husin berkata, bagi membantu pemulihan sektor PKS, kerajaan perlu mempertimbangkan penyediaan dana pusingan yang dikendalikan oleh Kementerian Kewangan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ekonomi bumiputera.
Ujarnya, langkah itu boleh dipertimbangkan selepas melihat kejayaan Tabung Pemulihan Usahawan 1984-1986 yang pernah dilaksanakan bagi menangani krisis ekonomi suatu ketika dahulu.
“Kerajaan juga boleh memastikan syarikat-syarikat perbankan melonggarkan syarat-syarat kewangan mereka, khususnya dana yang disalurkan daripada kerajaan agar lebih ramai PMKS menerima bantuan serta kemudahan kredit.
“Selain itu, semua premis termasuk premis perniagaan yang menerima manfaat moratorium hendaklah membenarkan penangguhan bayaran sewa kepada penyewa dan tidak membenarkan tindakan pengusiran atau pengisytiharan muflis sekurang-kurangnya sehingga enam bulan selepas tempoh moratorium berakhir,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, kerajaan juga dapat membantu dari segi pembekuan pembayaran atau pengecualian bayaran caj utiliti, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selama enam bulan untuk sektor PKS.
“Pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM1,200 sebulan untuk tempoh enam bulan juga perlu dipertimbangkan kepada mereka yang mempunyai pendapatan RM5,000 dan ke bawah.
“Bantuan ini seharusnya dapat dinikmati bersama oleh sektor ekonomi informal termasuk pertanian dan lain-lain,” ujarnya.
Baru-baru ini, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengumumkan penangguhan Bayaran Anggaran Cukai (CP204) dan Skim Bayaran Ansuran (CP500) bagi Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) mulai 1 Januari 2022 hingga 30 Jun 2022.
Mengulas mengenai pengumuman tersebut, Abd. Halim berkata, DPMM berharap lebih banyak agensi-agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan dapat mengikut jejak langkah LHDN dalam mencari jalan terbaik membantu rakyat.
“Lebih penting, bantuan bukan sahaja dari aspek melonggarkan syarat berbentuk fiskal semata-mata, tetapi memastikan juga penguatkuasaan yang lebih telus dan tuntas agar tidak ada pihak yang cuba menangguk di air keruh seperti aktiviti pencatutuan dan manipulasi harga khususnya bagi barangan keperluan asas,” jelasnya. – UTUSAN










