PETALING JAYA: Lebih 100 sukarelawan Yayasan AEON Malaysia berganding bahu membantu mangsa banjir di Taman Sri Muda membersihkan kediaman dan premis perniagaan mereka yang terjejas dalam bencana itu.
Kerja-kerja pembersihan selama tujuh jam itu bermula pukul 10 pagi, Jumaat lalu mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan di selia oleh Pegawai Pemerintah Batalion Regimen 502 (Askar Wataniah), Kem Sungai Buloh, Leftenan Kolonel Beh Kok Yew.
Menurut Presiden Yayasan AEON Malaysia, Datin Noryahwati Mohamad Noh, pihaknya sentiasa prihatin dengan mereka yang memerlukan akan sentiasa menghulurkan bantuan melalui program-program kemanusiaan yang dijalankan sama ada secara bersendirian atau berkolaborasi dengan agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Program-program kemanusiaan yang dijalankan merangkumi sumbangan barangan, kewangan serta tenaga kerja para sukarelawan yang sejajar dengan salah satu nilai murni konsep Keluarga Malaysia iaitu Keterangkuman yakni saling menghormati dan mengasihi sesama ahli keluarga dan satu sama lain,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum itu, Yayasan AEON Malaysia telah menyampaikan 600 pek sumbangan barangan mengandungi peralatan kebersihan dan kesihatan, sabun, pelitup muka, tuala, tuala wanita dan kain selimut kepada pusat pemulihan banjir di Hulu Langat, Kuala Selangor dan Petaling.
Yayasan AEON Malaysia juga turut mengagihkan sumbangan barangan makanan, minuman, barangan kebersihan dan kesihatan kepada 450 keluarga di tiga pusat bantuan di Sepang, Subang Jaya dan Shah Alam.
Menurutnya, inisiatif yang dijalankan sejajar dengan usaha AEON untuk memperjuangkan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 12- Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab.
Ia juga untuk memastikan penggunaan sumber yang baik, meningkatkan kecekapan tenaga, infrastruktur yang mampan dan penyediakan akses kepada perkhidmatan asas, kelestarian dan memastikan kualiti hidup lebih baik untuk semua. – UTUSAN









