KLANG: Northport (Malaysia) Bhd. (Northport), Westports Malaysia Sdn. Bhd. (Westports) dan Pusat Perubatan iHEAL (iHEAL) telah bekerjasama menganjurkan Program Pemberian Vaksin Penggalak Covid-19 untuk komuniti pelabuhan.
Kerjasama itu bertujuan meningkatkan imuniti pekerja pelabuhan dan komuniti Pelabuhan Klang terhadap visur Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, rekod syarikat itu menunjukkan bahawa dua dos pertama vaksin telah membantu mengurangkan bilangan kes Covid-19 yang teruk (kategori 4 dan 5) dalam kalangan kakitangan dan pengguna pelabuhan.
Walau bagaimanapun katanya, data dari negara lain yang memulakan program vaksinasi mereka lebih awal daripada Malaysia menunjukkan bahawa vaksin Covid-19 susut keberkesanannya dalam jangka masa tertentu.
“Oleh itu, Northport telah menjemput Westports dan iHEAL untuk bekerjasama menganjurkan Program Pemberian Vaksin Penggalak Covid-19.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pelabuhan Kelang kerana membenarkan kami menggunakan kemudahan kompleks sukan mereka untuk tujuan ini.
“Kami percaya bahawa program ini akan membantu kerajaan mempercepatkan proses pemberian perlindungan tambahan kepada orang ramai terhadap Covid-19, dan pada masa yang sama membantu komuniti setempat untuk mendapatkan suntikan vaksin penggalak mereka dengan lebih awal, di kemudahan vaksinasi yang lebih dekat dengan kediaman mereka,” katanya dalam kenyataan.
Program vaksinasi penggalak bermula 17 Disember lalu, akan diadakan selama dua bulan di Dewan Kelab Sukan Lembaga Pelabuhan Kelang di Pelabuhan Klang.
Dalam program kerjasama ini, Northport dan Westports akan membiayai penubuhan pusat vaksinasi atau PPV (Pusat Pemberian Vaksin), manakala iHEAL akan bertanggungjawab untuk memastikan standard klinikal dan memberikan suntikan penggalak.
Program ini mempunyai kapasiti untuk pemberian 2,000 dos penggalak sehari.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Westports, Datuk Ruben Emir Gnanalingam berkata, adalah penting bagi pekerja pelabuhan untuk diberi vaksinasi sepenuhnya kerana sektor pelabuhan dikategorikan di bawah
perkhidmatan penting yang terus beroperasi 24 jam tujuh hari seminggu bagi memastikan ekonomi negara dan pergerakan barangan tidak terganggu. – UTUSAN










