Eksport November berjumlah RM112.2 bilion - Utusan Malaysia

Eksport November berjumlah RM112.2 bilion

PEMULIHAN ekonomi global membantu negara mencatatkan peningkatan eksport. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Eksport Malaysia meningkat 32.4 peratus kepada RM112.2 bilion pada November lalu berbanding tempoh sama tahun lalu, lapor Jabatan Perangkaan.

Menurut Jabatan Perangkaan, peningkatan itu merupakan bulan keempat eksport negara mencatatkan pertumbuhan dua angka sejak Ogos 2021.

Jelasnya, import turut mencatatkan pertumbuhan dua digit iaitu 38 peratus kepada RM93.3 bilion tahun ke tahun.

“Selari dengan prestasi kukuh, jumlah dagangan berkembang 34.9 peratus kepada RM205.5 bilion berbanding bulan sama pada 2020,” jelasnya dalam Buletin Perangkaan Perdagangan Luar Negara November 2021 yang disiarkan, semalam.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan disokong oleh eksport domestik dan eksport semula, dengan eksport domestik berjumlah RM93.7 bilion, menyumbang 83.5 peratus kepada jumlah eksport.

Eksport semula pula katanya, berjumlah Rm18.5 bilion, meningkat 23.9 peratus berbanding November tahun lalu.

“Jumlah dagangan meningkat 34.9 peratus daripada RM152.3 bilion pada November 2020 kepada RM205.5 bilion dan lebihan dagangan, dengan nilai RM18.9 bilion menjadikannya lebihan dagangan ke-19 bulan berturut-turut
sejak Mei 2020.

“Selaras dengan pemulihan dalam aktiviti ekonomi global, prestasi bulan ke bulan import dan jumlah dagangan juga mencatatkan pertumbuhan positif, masing-masing meningkat 5.9 peratus dan 1.5 peratus. Sebaliknya, eksport menurun sedikit 1.9 peratus dan lebihan dagangan berkurang 28.1 peratus,” jelas beliau.

Jabatan Perangkaan melaporkan, peningkatan eksport disumbang erutamanya oleh eksport lebih tinggi ke Amerika Syarikat, diikuti China, Singapura, Vietnam dan Kesatuan Eropah.

Peningkatan eksport jelasnya, didorong terutamanya oleh barangan elektrik dan elektronik, meningkat RM5.9 bilion, diikuti keluaran petroleum (RM5.1 bilion), minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (RM3.9 bilion). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN