Warga emas hidup ‘bersulam’ air mata - Utusan Malaysia

Warga emas hidup ‘bersulam’ air mata

MANIS Salleh menerima sumbangan daripada wakil MMSB di Kampung Sungai Padang, Simpang Empat, Perlis, baru-baru ini. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Sebuah rumah usang berusia 50 tahun yang sudah dimakan anai-anai selain atap bocor menjadi tempat berteduh seorang warga emas, Manis Salleh,71, bersama anak perempuan dan tiga cucunya di Kampung Sungai Padang, Simpang Empat di sini.

Wanita yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi itu hanya mengharapkan duit sewa bendang miliknya seluas 0.56 hektar sahaja kerana sudah uzur dan tidak mampu mengerjakannya sendiri.

Manakala anaknya, Siti Hajar Hassan, 30, yang sudah berpisah dengan bekas suami pula tidak dapat bekerja buat masa ini kerana perlu menjaga anak-anak yang masih kecil berusia tujuh, lima dan dua tahun.

Walaupun, lima orang lagi anak-anak Manis ada membantu memberi wang belanja bulanan, namun warga emas itu tidak pernah mengharapkannya kerana memahami situasi masing-masing yang sudah mempunyai keluarga.

Jelasnya, rumah usang tersebut tidak dapat dibaiki kerana dibuat atas tanah orang lain dan dia masih lagi mengharapkan bantuan daripada pihak berkaitan untuk membina rumah baharu di tanahnya sendiri yang terletak di kawasan bersebelahan rumah itu.

“Rumah ini sudah lama, kalau hujan memang ada bocor di sana sini. Kalau rumah atas itu, kami sudah tidak berani nak duduk lagi kerana bahaya sebab dimakan anai-anai.

“Setiap kali hujan lebat dan ribut memang akan berasa takut. Lepas itu kena susun baldi di banyak tempat kerana bumbung banyak yang sudah bocor,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

WAKIL MMSB, MOHD. Hafiz Abd. Mutalib menyampaikan sumbangan kepada Mat Noor Ismail di Kampung Sena, Kurong Anai, Arau, baru-baru ini.

Nasib berbeza dialami oleh Mat Noor Ismail,76, yang kadang-kala tidak dapat menahan sebak sehingga mengalirkan air mata mengenangkan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga dalam mencari rezeki terpaksa diambil alih isterinya.

Sejak tiga tahun lalu, warga emas berkenaan hanya mampu berehat di rumah selepas mengalami pelbagai penyakit seperti darah tinggi, asma, buasir dan kolesterol tinggi.

Dalam menampung kehidupan seharian itu, isteri warga emas tersebut, Siti Rohani Saari,56, menerima upah sebagai pembantu di kedai makan berhampiran rumah dengan pendapatan sekitar RM20 sehari.

Hasil pendapatan tersebut, selain bantuan daripada saudara mara serta jiran-jiran terdekat, mereka yang tinggal di Kampung Sena, Kurung Anai di sini ‘lepas’ makan seharian.

“Dulu saya boleh melakukan pelbagai kerja termasuk kerja-kerja membuat rumah, namun sejak sakit ini, saya sudah tidak mampu lagi. Sekarang, hanya mampu berharap kepada isteri sahaja.

“Hasil pendapatan isteri itulah menjadi belanja makan buat kami sekeluarga bersama seorang anak berusia 17 tahun selain kos membeli ubat-ubatan.

“Sedih sangat melihat isteri pula terpaksa bekerja dan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, kehidupan kami lebih teruk apabila isteri tidak dapat bekerja. Kalau saya mampu, saya sendiri akan melakukan kerja bagi mencari pendapatan,” katanya sebak ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Manis dan Mat Noor penerima sumbangan Jelajah Ikhlas Bersama CSR anjuran bersama Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. (CSR), Era Foods MY dan Media Mulia Sdn. Bhd (MMSB).

Dengan tagline ‘Berkongsi Kemanisan Rezeki’ melibatkan sumbangan kewangan, barangan makanan dan lain-lain, program berkenaan menyasarkan kumpulan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 khususnya golongan B40 di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya