Usahawan PEKB B40 dibantu dengan ilmu perniagaan - Utusan Malaysia

Usahawan PEKB B40 dibantu dengan ilmu perniagaan

MUHAMMAD Musa (belakang, dua dari kiri) menyaksikan pihak Foodpanda dan wakil empat NGO menandatangani MOU di KUIS, semalam. - UTUSAN/ ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) anjuran beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) beriltizam melahirkan usahawan makanan dalam kalangan B40 dengan pelbagai ilmu perniagaan.

Menurut Setiausaha Bahagian Kesejahteraan Komuniti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Muhammad Musa, 121 peserta mengikuti kursus di bawah PEKB selama seminggu dilatih dengan pelbagai kemahiran sebagai persediaan menjadi usahawan berjaya.

“Peserta tidak diberi bantuan kewangan secara terus. Mereka hanya akan diberikan peralatan serta keperluan perniagaan seperti chest freezer, gelombang ketuhar, komputer riba dan sebagainya selepas tamat program latihan bagi memudahkan kelangsungan perniagaan mereka.

“Melalui program ini, kita latih para peserta selama seminggu dari segi program bermula dengan bina insan, celik kewangan, bina upaya, kemudian kita sediakan mereka peralatan selepas tamat program,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Persatuan Wanita di Hati Rakyat (WADIHARA), Persatuan Anak-Anak Terengganu di Selangor dan Wilayah Persekutuan (PESAT), Yayasan Mahasiswa dan Sahabat Prihatin Selangor dengan Foodpanda, di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) di sini, semalam.

Jelasnya lagi, kerjasama kerajaan dengan NGO terlibat  bertujuan melancar serta memudahkan lagi perjalanan program PEKB dan perkembangan setiap peserta selepas tamat program.

“NGO yang kita lantik ini bertugas untuk memantau peserta program, mereka akan telefon dan tanya balik, akan turun ke tempat mereka meniaga.

“Mereka juga akan bantu kalau peserta ada masalah kewangan dan sebagainya di mana mereka boleh mendapat bantuan kewangan daripada bank tempatan seperti Bank Simpanan Nasional (BSN) dan agensi-agensi kerajaan lain seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM),” katanya.

Katanya lagi, kerjasama dengan Foodpanda membuka lagi peluang yang luas kepada usahawan memasarkan produk makanan mereka secara dalam talian dengan lebih mudah, cepat dan sistematik.

“Kita memilih Foodpanda kerana ia merupakan syarikat penyedia perkhidmatan parcel hailing (p-hailing) terbesar di Malaysia dan mencatatkan keuntungan paling tinggi sejak pandemik Covid-19,” katanya.

Menurutnya lagi, PEKB 2021 merupakan inisiatif pembangunan keusahawan yang diterajui KPKT bagi membantu golongan B40 yang berdaftar dengan eKasih.

PEKB bertujuan meningkatkan kemahiran keusahawanan supaya usahawan mampu mendapatkan pekerjaan atau mengusahakan perniagaan sendiri, tambah beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN