PETALING JAYA: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak wajar diadakan lebih awal kerana dibimbangi akan mensia-siakan segala usaha kerajaan dan semua pihak dalam membendung penularan Covid-19 selaras dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, tiada keperluan melaksanakan pilihan raya kerana negara sudah menyaksikan beberapa siri pengalaman bahawa pandemik Covid-19 sukar dikawal.
Katanya, situasi semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah, September tahun lalu yang masih belum berjaya dikekang sepenuhnya hingga kini sudah cukup membuktikan wabak berkenaan bukan suatu perkara yang perlu diambil mudah.
“Kenapa kita masih mencari penyakit dengan membuat pilihan raya umum? Kita memang tidak boleh mengawal penularan ini. Kalau kita tetap berdegil mahu melakukannya, maka kita sendiri akan mendedahkan penyakit dengan ramai orang.
“Kalau lihat beberapa negeri seperti Kelantan, kes di negeri ini di peringkat daerah semuanya berwarna merah yang menunjukkan kes jangkitan wabak masih tinggi. Malah, Kementerian Kesihatan sendiri pun menyatakan kadar jangkitan sudah meningkat melebihi nilai satu.
“Kes kematian yang banyak sudah ada. Jadi, apa lagi bukti yang kita perlukan untuk kita tetap melaksanakan pilihan raya umum? Kenapa kita masih lagi mahu bermain dengan ‘api’?” Soalnya ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, dalam satu tinjauan pendapat, sebanyak 75.5 peratus individu menyatakan tidak bersetuju PRU15 diadakan segera.
Berdasarkan tinjauan itu, hanya 24.5 peratus menyatakan persetujuan mereka PRU15 harus dipercepatkan.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Akademi Perubatan Pekerjaan dan Persekitaran Malaysia, Prof. Madya Dr. Marzuki Isahak pula berkata, PRU15 mesti ditangguhkan sehingga keadaan kes jangkitan harian dan yang menerima rawatan kembali stabil.
Katanya, walaupun kadar vaksinasi di negara ini sudah mencapai peratusan yang tinggi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, masyarakat dikhuatiri tetap tidak mematuhi arahan tersebut.
Beliau merujuk beberapa kes yang berlaku semasa PRN Melaka baru-baru ini yang menyaksikan ahli politik dan individu dikenakan kompaun kerana melanggar SOP.
“Dalam kita berusaha menyeimbangkan antara demokrasi, kesihatan juga amat penting dan PRU-15 tidak digalakkan,” katanya. – UTUSAN