PETALING JAYA: Sime Darby Property Bhd. meraih tempahan jualan 100 peratus bagi dua projek kediaman, Dayana Fasa 2 di Nilai Impian, Negeri Sembilan dan Serenia Aiora Fasa 1 di Serenia City, Selangor, semasa pratonton jualan masing-masing, bulan ini.
Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, kejayaan pelancaran itu kerana keyakinan pembeli terhadap pemenuhan permintaan pasaran bagi rumah di lokasi utama pada harga yang sesuai.
“Pembeli rumah mengenal pasti jenama kami dengan kualiti dan nilai yang sangat baik. Faktor-faktor ini memenuhi kehendak setiap pembeli, termasuk rumah yang direka bentuk untuk memenuhi gaya hidup dan keperluan yang berubah.
“Pembangunan produk kami hasil penyelidikan yang dilakukan secara konsisten, menawarkan kediaman dengan ruang dalaman yang lebih luas dan yang boleh ditukar menjadi pejabat atau ruang pembelajaran,” katanya dalam kenyataan.
Dayana Fasa 2 terdiri daripada 63 unit manakala Serenia Aiora Fasa 1 merangkumi 144 unit, dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) RM132.4 juta.
Kadar tempahan penuh untuk kedua-dua projek pembangunan itu merupakan yang ketiga dan keempat berturut-turut selepas Elmina Green Five di City of Elmina dan Trilia di Bukit Jelutong.
Dayana Fasa 2 menampilkan rumah berkembar dua tingkat vernakular moden yang dilengkapi sepenuhnya dengan elemen kehidupan berbilang generasi.
Dengan harga bermula dari RM509,888, rumah bersaiz 20’x60’ itu mempunyai empat bilik tidur dan tiga bilik air. Binaan bermula dari 1,734 kaki persegi.
Sementara itu, Serenia Aiora Fasa 1 di Serenia City menawarkan rumah dengan binaan antara 1,866 hingga 2,132 kaki persegi dengan harga bermula daripada RM702,888.
Serenia Aiora Fasa 2 dan Dayana 2 kini dibuka untuk pendaftaran.
Menurut Sime Darby Property, projek lain yang akan datang termasuk Ilham Residence 2 dan The Twin Factories 2 di Bandar Elmina; Dataran Serenia Amalia di Serenia City; dan Alura di Bandar Bukit Raja. – UTUSAN










