Pengembangan trend pemasaran fasa endemik - Utusan Malaysia

Pengembangan trend pemasaran fasa endemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Gaya hidup masyarakat Malaysia kini semakin berubah ke arah digital. Sama ada suka atau pun tidak, krisis pandemik yang melanda seluruh dunia telah memaksa kita mengubah cara hidup, budaya bekerja dan landskap ekonomi dari kaedah konvensional kepada teknologi digital. Kaedah pemasaran tradisional juga dilihat semakin kurang relevan bagi sebahagian besar perniagaan. Kini pemasaran digital menjadi tunggak dalam memperkasa potensi pasaran.

Bila bercakap mengenai pemasaran digital di Malaysia, terlalu banyak strategi yang boleh dilaksanakan dengan cara yang kos efektif. Namun, apa yang perlu kita terima adalah realiti budaya digital kini yang sema­kin berkembang dan berubah pantas. Ada sebahagian teknik yang dilaksanakan sebelum ini sudah tidak menampakkan ha­sil yang jitu untuk tahun-tahun seterusnya.

Atas faktor tersebut, ia menjadi kepentingan bagi usahawan mahupun ahli pemasaran untuk sentiasa cakna terhadap perubahan budaya pengguna dalam menjayakan aspirasi perniagaan. Terdapat pengembangan trend pemasaran yang perlu diamati dalam fasa endemik ini dan bakal menjadi lembaran baharu dalam trend persaingan digital di seluruh dunia.

Peningkatan Pemasaran Media Sosial

Penggunaan media sosial memainkan peranan penting bagi sebahagian besar perniagaan. Impak krisis pandemik juga telah meningkatkan lagi penggunaan media sosial dalam kalangan masyarakat secara drastik. Setiap usahawan perlu memperkukuh potensi pasaran dengan memastikan kewujudan perniagaan melalui media sosial berdasarkan kesesuaian pasaran.

Kini, kepentingan tersebut perlu diperkukuhkan lagi melalui engagement atau jalinan emosi yang baik kepada audiens. Bagi memastikan pelaksanaan media sosial yang berkesan, perniagaan kini bukan sahaja perlu sentiasa memastikan pengurusan pemasaran kandungan yang konsisten tetapi mempunyai nilai dalam menyentuh sentimen budaya dan motivasi pasaran.

Memastikan setiap respon di ruangan komen sentiasa dilayan juga menjadi satu faktor penting dalam membina engagement yang membantu perhubungan jangka panjang kredibiliti perniagaan, penjenamaan dan pe­ngukuhan pelanggan setia.

Kreativiti Pemasaran Kandungan

Pemasaran kandungan sudah menjadi kepentingan dalam pelbagai strategi pemasaran digital. Namun, perubahan trend pasaran kini telah menjadikan video sebagai pilihan yang terbukti mampu menarik perhatian ramai audiens dengan lebih berkesan. Kreativiti menjadi tunggak utama dalam penciptaan kan­dungan yang mampu menyentuh emosi audien serta menyuntik pengaruh dalam mencetus tindakan prospek untuk menjadi pelanggan.

Berdasarkan kajian Hootsuite, orang ramai kini lebih menggemari kandungan video yang semakin mudah diakses di media sosial. Dapatan kajian turut menyatakan, ia membantu meningkatkan lagi peluang membina followers baharu dan menjadi elemen pengukuhan hubungan pelanggan. Input kandungan video yang kreatif juga telah terbukti membantu kredibiliti penjenamaan dan potensi pasaran yang lebih baik dalam persaingan digital kini.

Memaksimumkan Potensi eDagang

Secara realiti, ruangan digital kini telah menjadi platform orang ramai berkumpul. Ia telah menjadi platform yang menggantikan lokasi-lokasi konvensional seperti pusat rujukan maklumat sehinggalah pusat beli-belah mahupun beriadah dan bersosial. Peningkatan pe­langgan di Marketplace dan E-Dagang menjadi budaya pengguna kini yang terus meningkat naik.

Perniagaan kini perlu mening­katkan lagi keupayaan digital commerce dengan memfokuskan kelancaran platform Marketplace dan eDagang dalam keseluruhan integrasi pemasaran digital. Memastikan pengalaman pelanggan yang positif dalam setiap capaian, perhubungan dan urus niaga juga menjadi faktor dalam menjaga kepentingan pelanggan.

Justeru, pengembangan budaya pemasaran digital kini akan lebih terarah kepada customer oriented iaitu faktor yang memudah dan memuaskan hati pengguna dalam perhubungan digital dan tradisional. Menjaga dan menambahbaik segenap aspek di atas merupakan kunci untuk terus berdaya maju dalam arus digitalisasi kini dan masa hadapan.

PENULIS adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN