MINDEF sedia beri kerjasama siasatan perolehan kapal LCS - Utusan Malaysia

MINDEF sedia beri kerjasama siasatan perolehan kapal LCS

Keutamaan kementerian ketika ini adalah untuk menyelamatkan projek berkenaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia bersedia memberi kerjasama dan sokongan penuh kepada semua siasatan terhadap elemen ketirisan atau rasuah berkaitan perolehan kapal Littoral Combat Ship (LCS).

Dalam Ucapan Penggulungan Sesi Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2022 Peringkat Dasar Kementerian Pertahanan, Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keutamaan ketika ini adalah untuk menyelamatkan projek berkenaan kerana ia amat penting memandangkan kapal LCS itu sememangnya aset yang diperlukan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Malah katanya, projek itu juga melibatkan vendor-vendor tempatan yang mana sebahagiannya terdiri daripada veteran ATM dan ada juga yang menjadi kakitangan kepada syarikat tersebut.

“Dalam masa yang sama, meskipun kepimpinan syarikat Original Equipment Manufacturer (OEM) iaitu Bousted Berhad adalah terdiri daripada barisan kepimpinan baharu, namun ia tidak bermaksud kepimpinan syarikat yang terdahulu boleh terlepas dari keadilan sekiranya terdapat salah laku.

“Saya mengalu-alukan mana-mana pihak sekiranya terdapat bukti baharu atau maklumat tambahan, laporkan terus kepada pihak berkuasa.

“MINDEF termasuk saya sendiri tidak akan sesekali mempertahankan serta berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan tindakan tidak bertanggungjawab dalam perihal perolehan LCS ini.

“Kita sebenarnya tidak ada pilihan, suka atau pun tidak, saya dan kepimpinan MINDEF perlu mencari apa jua jalan penyelesaian sekalipun untuk memastikan perolehan kapal LCS dapat disempurnakan dan diterima oleh TLDM,” katanya di Dewan Rakyat, kelmarin.

Berdasarkan laporan kementerian itu, sehingga 31 Oktober lepas, kemajuan kerja bagi LCS adalah sebanyak 57.05 peratus berbanding jadual perancangan kerja asal iaitu sebanyak 96.57 peratus.

Secara keseluruhannya, perolehan itu mengalami kelewatan sebanyak 39.52 peratus atau bersamaan dengan 43 bulan.

Menurut Hishammuddin, pihaknya juga telah mengambil pendekatan inklusif untuk melibatkan semua pihak berkepentingan seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Berhad demi memikirkan hala tuju penyelesaian isu LCS itu.

Katanya, inisiatif penyelesaian itu menggariskan dua komponen utama iaitu Corporate Restructuring dan Fund Raising yang turut melibatkan Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

“Kini, MINDEF berada di peringkat akhir rundingan bagi menyediakan Pelan Pemulihan. Dalam masa yang sama, bengkel-bengkel melibatkan semua pihak berkepentingan bagi Pemulihan Projek LCS juga diadakan bagi memastikan syor pemulihan yang komprehensif dapat dihasilkan sebelum diangkat semula ke Jemaah Menteri untuk kelulusan dan tindakan selanjutnya.

“Dalam mempertimbangkan cadangan ini, kementerian berpegang kepada prinsip keperluan kritikal pertahanan negara, tanggungjawab kontraktual kerajaan dan tanggungjawab syarikat berdasarkan penemuan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan Kewangan Kerajaan (JSTUPKK).

“Sehubungan itu, kita tidak boleh lagi pandang ke belakang. Apa yang telah berlaku menjadi pengajaran dan iktibar yang cukup besar buat kerajaan.

“Sebagai jalan ke hadapan, pelan ini akan dibentang kepada kabinet bagi kelulusan, sekiranya diluluskan, sasarannya ialah TLDM boleh memperolehi kapal LCS pertama mereka pada tahun 2025,” katanya.

Dalam pada itu, ahli Parlimen Sembrong itu berkata, pihaknya tidak menafikan sememangnya terdapat masalah dalam perolehan LCS seperti mana yang sudah dinyatakan beberapa kali sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, perkara itu bukanlah masalah baru yang timbul sejak beliau menerajui semula MINDEF.

“Ia turut diakui oleh kepimpinan MINDEF sebelum-sebelum ini termasuk Yang Berhormat Kota Raja (Mohamad Sabu).

“Kelewatan perolehan ini adalah kerana pihak OEM berkaitan pembinaan LCS telah memberhentikan kerja disebabkan masalah kewangan yang dihadapi pihak syarikat dan menyebabkan pembayaran kepada OEM tidak dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

“JSTUPKK juga telah ditubuhkan pada 2019 dan telah mengesyorkan dua pilihan kepada kerajaan sama ada untuk menghentikan atau meneruskan dan keputusan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu adalah untuk meneruskan perolehan LCS.

“Oleh itu, dibawah kepemimpinan saya, MINDEF dan ATM akan memberikan kerjasama dan sokongan yang penuh kepada semua siasatan dibuat oleh badan-badan berkenaan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya