PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) menasihati orang ramai agar berwaspada dan tidak terpedaya dengan mana-mana pihak yang menawarkan sebarang bentuk dana bagi tujuan mengerjakan ibadat haji melalui panggilan telefon.
TH dalam satu kenyataan berkata, baru-baru ini pihaknya telah menerima laporan daripada pendeposit bahawa ada individu tidak bertanggungjawab yang menawarkan dana haji untuk membolehkan mereka menunaikan haji dengan lebih cepat.
“Pemilihan giliran menunaikan haji adalah berdasarkan sistem pendaftaran di mana yang dahulu didahulukan.
“TH tidak pernah melantik mana-mana organisasi atau orang perseorangan untuk menjadi perantara/orang tengah/ejen dalam hal-hal berkaitan tawaran haji mahupun pakej haji.
“TH berharap orang ramai agar lebih berhati-hati apabila menerima sebarang tawaran dana bagi urusan haji daripada pihak yang tidak dikenali,” katanya. – UTUSAN










