fbpx

28 Januari 2022, 8:44 pm

  TERKINI

IKMa, akronim baharu, perkukuh modal insan koperasi

NOH Omar melancarkan Akronim Baharu Institut Koperasi Malaysia di Dewan Tun Hussein On PWTC, kelmarin. – UTUSAN/SYAWAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Institut Koperasi Malaysia melancarkan akronim baharu sebagai IKMa dan akan terus memperkukuh peranannya sebagai pusat latihan dan pembangunan modal insan tunggal koperasi di negara ini.

Selaras dengan pindaan tersebut, IKMa akan terus agresif dalam menyediakan program latihan bagi membangunkan modal insan koperasi yang lebih kompeten dan berdaya saing dengan moto baharu, “Pencetus Minda Koperasi Negara.”

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, tujuan utama pindaan tersebut adalah bagi meningkatkan imej dan visibiliti di mata umum agar masyarakat lebih mengenali dan memahami peranan IKMa dalam melahirkan warga koperasi yang cemerlang dan berdaya saing.

Jelasnya, penjenamaan semula akronim amat penting agar IKMa diperkukuh sebagai Pusat Latihan Modal Insan Koperasi dalam merealisasikan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM) 2021-2025.

“Di samping itu, penjenamaan ini juga sekali gus dapat menangani isu kekeliruan jenama yang terdahulu dengan organisasi kerajaan yang lain contohnya seperti Institut Kemahiran MARA yang turut menggunakan akronim IKM.

“Sejajar dengan penukaran akronim ini, saya amat berharap IKMa dapat melalui transformasi ke arah memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai satu-satunya peneraju Pusat Kecemerlangan Pembangunan Modal Insan Koperasi di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Pelancaran Akronim Baharu IKMa dan Seminar Bicara Ketua Eksekutif: Nafas Baharu Koperasi Era Endemik di sini, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Muslimin Yahaya dan Pengerusi IKMa, Datuk Dr. Rosli Mat Hassan.

Noh memaklumkan, bagi memperkasa peranan melahirkan modal insan koperasi yang berkualiti, IKMa dalam usaha menaik taraf International Cooperative Entrepreneurship College (ICEC) di Cyberjaya kepada sebuah universiti yang akan dinamakan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia, tahun depan.

“Buat masa ini, ICEC hanya menawarkan pengajian diploma kepada para pelajar dan kita sudah di peringkat akhir proses naik taraf kepada universiti yang membolehkan IKMa menawarkan pengajian peringkat Sarjana Muda.

“Seramai 1,000 pelajar akan dipilih untuk sesi pengambilan pertama tahun hadapan dan berkemungkinan dilancarkan pada Julai bersempena dengan Bulan Koperasi yang baru sahaja mendapat kelulusan kabinet. Jadi, kita akan menggerakkan koperasi dengan lebih hebat.

“Saya yakin apabila universiti itu ditubuhkan, maka koperasi ini akan menjadi sektor ketiga terbesar dan tidak mustahil suatu hari nanti dapat bersaing dengan pihak swasta,” ujarnya. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI