PETALING JAYA: Haily Construction Sdn. Bhd. (Haily Construction) telah menerima surat anugerah (LA) daripada Nice Frontier Sdn. Bhd. untuk melaksanakan projek perumahan komuniti di Kulai Johor, bernilai RM14.57 juta.
Haily Construction merupakan anak syarikat milik penuh Haily Group Berhad (Haily), manakala Nice Frontier adalah syarikat milik IOI Properties Group Berhad.
Haily Group merupakan syarikat pembinaan berpangkalan di Johor.
Pengarah Urusan Haily, See Tin Hai berkata, pemberian projek terbaharu itu akan meningkatkan nilai projek kumpulan yang kini berjumlah RM543.22 juta.
Ia melibatkan 22 projek pembinaan bangunan dan dua projek pembinaan berkaitan kejuruteraan awam yang sedang dijalankan.
“Kontrak terbaru ini akan membuatkan kami sibuk untuk 16 bulan akan datang dan akan menyumbang kepada pendapatan serta aset bersih Kumpulan Haily bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dan 31 Disember 2023,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemerolehan projek terbaharu adalah satu lagi bukti keupayaan Haily Construction sebagai kontraktor Gred G7 dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).
katanya, ini kerana, majikan memerlukan semua kerja dinilai berdasarkan standard kualiti yang dinyatakan dalam Standard Industri Pembinaan (CIS) 7:2014 Sistem Penilaian Kualiti untuk Kerja Pembinaan Bangunan yang dikeluarkan oleh CIDB dan mencapai markah minimum 68 peratus untuk Penilaian Kualiti QLASSIC.
Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, syarikat itu menyatakan projek terbabit melibatkan cadangan pembinaan dan penyiapan 216 unit rumah bandar strata berukuran 20 kaki x 60 kaki (9 blok), pejabat pengurusan dan pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Tempoh kontrak adalah selama 16 bulan dari tarikh permulaan, yang akan dimaklumkan kepada Haily sewajarnya.
Dalam pada itu, Tin Hai percaya, pengumuman oleh kerajaan dalam Bajet 2022 untuk meremajakan sektor hartanah tempatan akan meningkatkan pemulihan industri pembinaan pada tahun hadapan. – UTUSAN










