SINGAPURA: Eksport dan pengeluaran minyak sawit Indonesia pada tahun ini berkemungkinan jatuh untuk tahun kedua berturut-turut, kata Naib Pengerusi Gabungan Pengusaha Kelapa Sawit Indonesia (GAPKI), Togar Sitanggang, semalam.
Kemerosotan tersebut adalah dijangkakan ketika negara pengeluar utama minyak sawit itu mengalami penurunan mendadak eksport dan pengeluaran berpunca daripada penggunaan baja yang kurang dan penyelenggaraan sektor perladangan yang lemah.
“Jumlah eksport minyak sawit dijangka jatuh untuk tahun kedua sebanyak 0.34 peratus pada 2021 berbanding tahun sebelumnya,” kata Togar dalam persidangan secara maya, semalam.
Sementara itu, eksport minyak sawit mentah (MSM) Indonesia dijangka menjunam sebanyak 60.5 peratus tahun ini berbanding 2020, tambah beliau, memandangkan pembeli utama India memilih produk ditapis.
Togar berkata, kejatuhan eksport secara keseluruhan disebabkan terutamanya oleh kemerosotan dalam penghantaran MSM.
“India lebih suka minyak sawit ditapis,” katanya, sambil menambah, eksport produk minyak sawit ditapis dijangka meningkat sebanyak 22.2 peratus tahun ini.
Ini adalah kali kedua GAPKI menyemak semula prospek eksport mereka untuk 2021.
Bulan lalu, persatuan itu meramalkan jumlah eksport minyak sawit 2021 akan meningkat 1.2 peratus, di sebalik unjuran penurunan eksport MSM sebanyak 54.4 peratus.
Togar berkata, penurunan eksport MSM adalah sejajar dengan matlamat negara untuk menghentikan eksport MSM, pada masa sama meningkatkan penghantaran minyak sawit nilai tambah.
Presiden Indonesia, Joko Widodo bulan lalu berkata, negaranya berhasrat untuk menghentikan pengeksportan MSM pada masa hadapan.
Indonesia bagaimanapun belum mendedahkan butiran bagaimana ia akan menghentikan eksport MSM.
Eksport minyak sawit jatuh 9 peratus pada 2020 selepas mencapai rekod tertinggi tahun sebelumnya, semenatra pengeluaran jatuh 1 peratus bagi tempoh yang sama. – AGENSI










