PETALING JAYA: Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) telah diiktiraf sebagai penerima anugerah Kecemerlangan Keseluruhan dalam CSR oleh syarikat media pada majlis Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 2021, semalam.
Astro dalam satu kenyataan berkata, Kumpulan amat berbesar hati kerana CSR Malaysia telah mengiktirafkan sumbangan yang dihulurkan kepada komuniti melalui komitmen korporatnya membabitan pendidikan dan perkhidmatan sosial.
“Seiring dengan sambutan ulang tahun ke-25 penubuhan Astro, kami berikrar akan terus komited dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat Malaysia.
“Pendidikan menjadi tumpuan utama kami. Astro telah melabur RM120 juta sepanjang dekad lalu untuk menawarkan kandungan pembelajaran seperti TV Tutor, TVIQ serta melengkapkan lebih 10,000 sekolah dengan penyahkod Kampus Astro supaya lima juta pelajar di seluruh negara boleh mengaksesnya,” katanya.
Menurut syarikat itu, komitmen Kumpulan melangkaui platformnya dan Astro juga telah bekerja keras untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif di tiga asrama di sekolah pedalaman Sabah dan Sarawak, membantu 220 pelajar menjimatkan lebih 190,000 jam perjalanan purata harian.
Pada tahun lalu, Astro telah memperuntukkan lebih 160,000 jam pengumuman perkhidmatan awam di seluruh platform untuk menguatkan topik termasuk kesihatan dan keselamatan di tengah-tengah penularan wabak Covid-19, pemuliharaan alam sekitar, isu sosial dan perpaduan negara.
Astro juga telah menganjurkan program Kem Badminton Astro setiap tahun sejak 2012 untuk mengenal pasti dan mencungkil bakat pemain muda.
Sehingga 2019, lebih 16,000 kanak-kanak telah mendapat manfaat dan ia terbukti berkesan memandangkan lebih 65 peratus daripada pasukan remaja kebangsaan ketika ini adalah alumni Kem Badminton Astro.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Pengerusi CSR Malaysia, Datuk R. Rajendran dan Pengerusi Bersama dan Pengarang Urusan CSR Malaysia, Lee Seng Chee dalam majlis yang diadakan di Kuala Lumpur.
Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia diasaskan oleh CSR Malaysia sebagai acara tahunan untuk mengiktiraf syarikat-syarikat yang cemerlang dalam transformasi sosio ekonomi Malaysia. – UTUSAN










