Amal by Malaysia Airlines jangka pulih suku ke-4 tahun depan - Utusan Malaysia

Amal by Malaysia Airlines jangka pulih suku ke-4 tahun depan

SEBAHAGIAN kumpulan pertama jemaah umrah diuruskan Amal by Malaysia Airlines memulakan penerbangan sulung dengan jet jenis A330 berlepas dari KLIA, Sepang. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Amal menjangka mampu memulihkan kembali operasi perkhidmatan penuhnya seperti situasi sebelum pandemik Covid-19 muncul menjelang suku keempat pada tahun depan.

Ketua Pegawai Operasinya, Muhammad Najmi Mansor berkata, unjuran itu agak lebih realistik berdasarkan senario semasa penerbangan global dan kebimbangan penularan varian baharu.

“Buat masa ini sehingga April tahun depan, kita hanya mampu menawarkan penerbangan lapan kali seminggu ke Tanah Suci berbanding dua kali sehari sebelum wabak tersebut,” katanya selepas mengiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad menyantuni kumpulan pertama 228 orang jemaah umrah diuruskan Amal.

Anak syarikat milik penuh Malaysia Aviation Group itu memulakan penerbangan sulung dengan jet jenis A330 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.

Ditubuhkan pada 2018 lalu, ia menjadi operasi pertama selepas hampir dua tahun tidak beroperasi tetapi dengan kekerapan empat kali ke Madinah dan empat kali ke Jeddah setiap minggu.

Mengulas lebih lanjut, Muhammad Najmi berkata, pengurangan untuk tempoh lima bulan akan datang sekitar 40 peratus itu, dijangka mampu melonjak semula menjelang Mei tahun depan.

“Insya-Allah kita optimis berdasarkan sambutan semula umat Islam yang merindui menunaikan ibadah umrah selepas pintu sempadan antarabangsa dibuka pada 18 Oktober lalu,” katanya.

Bahkan ujarnya, penyambungan semula operasi Amal dijangka memberi pilihan kepada 444 agensi umrah tempatan yang sebelum ini terpaksa bergantung hanya operator penerbangan asing.

Beliau malah yakin dengan unjuran dibuat kerana ketika ini semua pesawat ke Tanah Suci penuh hampir 100 peratus selain meraih permintaan luar biasa setelah hampir 20 bulan digantung.

Justeru, syarikat berkenaan meramalkan mampu mengangkut lebih 75,000 penumpang jemaah umrah sehingga Mei tahun depan namun masih bergantung kepada situasi semasa Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×