PUNCAK ALAM: Richiamo Coffee Sdn. Bhd. melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui kerjasama bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi memperkasa golongan orang kurang upaya (OKU) di universit itu.
Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo Coffee, Muhammad Zamry Abu Samah berkata, inisiatif itu dikenali sebagai Projek Keusahawanan Sosial, direalisasikan dengan pembukaan tiga kafe Richiamo Coffee di Kampus UiTM.
Katanya, melalui kerjasama itu, maka wujudlah pertukaran memorandum persefahaman (MoU) yang diterjemahkan melalui tanggungjawab, komitmen dan kepedulian UiTM dan pihak industri terhadap komuniti kurang bernasib baik terutama OKU.
“Projek ini merupakan yang pertama seumpamanya di institusi pengajian tinggi di negara ini untuk golongan OKU di mana kami membuka tiga cawangan Richiamo Coffee dengan kerjasama Unit Perkhidmatan OKU UiTM (UPO) sebagai rakan strategik rasmi,” katanya di sini, semalam.
Tiga cawangan yang telah dan akan dibuka di Kampus UiTM ialah Attijarah UiTM Puncak Alam (dibuka pada 1 Oktober 2021), Lobi Pejabat Rektor UiTM Puncak Alam dan Canseleri Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam (dalam proses pembukaan, dijangka dibuka Disember ini).
Menurut Muhammad Zamry, pihaknya telah berbincang dengan UPO dan bersetuju menyediakan 40 peratus pekerja sepenuh masa atau separuh masa dalam kalangan OKU dan B40.
Sebagai permulaan katanya, sehingga 30 Oktober lalu, seramai tiga OKU bekerja di Richiamo Coffee, Attijarah UiTM Puncak Alam.
Beliau menambah, modul latihan telah diwujudkan oleh UPO UiTM bagi mempersiapkan pekerja-pekerja bukan OKU menerima rakan OKU bekerja di bawah satu bumbung.
“Sebagai menyokong langkah ini, Richiamo Coffe juga bersetuju menyumbang sejumlah keuntungan daripada ketiga-tiga cawangan ke Tabung Cakna OKU UiTM untuk pemerkasaan dan kebajikan OKU di UiTM,” ujarnya.
Selain itu, latihan percuma kepada pekerja OKU dan B40 turut diberikan.
Kerjasama itu juga bakal membuka lebih banyak peluang keusahawanan kepada mahasiswa OKU UiTM.
“Selaini UiTM, kerjasama ini turut melibatkan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Meru dalam projek transisi kerjaya murid berkeperluan khas (MBK) di Richiamo Coffee di bawah projek keusahawanan sosial. Kerjasama ini akan diperluaskan ke PPKI di sekolah-sekolah lain dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN









