PETALING JAYA: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan anak syarikat SIRIM Berhad, SIRIM Tech Venture Sdn. Bhd. (STV) menandatangani memorandum persefahaman kerjasama (MoU) melibatkan kerjasama dalam aspek pengkomersialan hasil penyelidikan.
Pada majlis yang diadakan secara maya itu, UTeM diwakili Prof. Ir. Dr. Ghazali Omar yang menjalankan fungsi Naib Canselor, manakala STV diwakili Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad.
Menurut Dr. Ghazali, kerjasama strategik itu adalah penting untuk mentransformasi hasil penyelidikan menjadi produk dan perkhidmatan yang akan membawa manfaat bersama kepada semua pemegang taruh.
“Selain itu, kolaborasi sedemikian akan melonjakkan lagi agenda inovasi dan pengkomersialan agar selari dengan Revolusi Industri (IR) 4.0,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Sabirin pula berkata, melalui kerjasama itu STV akan memberi khidmat nasihat dan perkhidmatan pengkomersialan teknologi kepada UTeM yang dapat membantu penyelidik universiti dalam pengkomersialan inovasi mereka.
Beliau berkata, STV dan UTeM telah bersetuju untuk bekerjasama dalam pengkomersialan teknologi, produk, sistem dan perniagaan dalam bidang penyelidikan melibatkan teknologi kejuruteraan, teknologi komunikasi maklumat (ICT), IR 4.0 dan pembuatan bahan tambahan.
“Kedua-dua pihak turut akan menjalankan penilaian projek bersama. Ini adalah salah satu cabang proses pengkomersialan teknologi di mana penentusahan kesediaan teknologi
adalah penting sebelum UTeM ke proses seterusnya,” katanya. – UTUSAN










