PETALING JAYA: TH Travel & Services Sdn. Bhd. (THTS) telah melantik TheNoor sebagai Rakan Kembara Rasmi menerusi majlis memeterai me morandum persefahaman (Mou) antara kedua-dua pihak bagi memberi nilai tambah perkhidmatan kepada pelanggan.
Menurut TH Travel, kerjasama itu dilihat dapat mengembang dan memudahkan kebolehcapaian pelanggan kepada maklumat-maklumat seperti waktu solat, arah kiblat, al-Quran digital, pengiraan zakat dan lain-lain maklumat yang diperlukan menerusi aplikasi TheNoor.
Ketua Pegawai Eksekutif THTS, Datuk Ahmad Razman Ahmad Razali berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan kerjasama yang dijalinkan THTS dengan aplikasi tersebut yang merupakan batu loncatan dan penanda aras kepada penambahbaikan perkhidmatan yang baharu kepada para pelanggan.
“TheNoor adalah adalah aplikasi gaya hidup Muslim komprehensif merangkumi semua aspek kerohanian dan kehidupan seharian.
“Meskipun industri pelancongan sedang berhadapan dengan ketidaktentuan untuk kembali pulih akibat pandemik Covid-19, kami akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan kelangsungan THTS dan sentiasa bersedia untuk menghadapi pelbagai cabaran pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan sempena majlis pelancaran aplikasi itu, semalam.
Turut hadir semasa majlis itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif TheNoor Apps, Noor Neelofa Mohd. Noor.
Sementara itu, Noor Neelofa berkata, TheNoor berhasrat untuk memartabatkan syariat dan syiar Islam dalam pelbagai aspek kehidupan.
“Sektor pelancongan Islam kini mempunyai potensi dan kebolehpasaran yang sangat luas seiring dengan perkembangan industri halal di peringkat global.
“Perkhidmatan itu akan memberi kemudahan dan ketenangan fikiran bagi mereka yang menghargai masadan mahukan jaminan bahawa percutian mereka mesra Muslim dan patuh Syariah. Setakat ini, aplikasi itu sudah mencapai hampir lima juta pengguna,” katanya. – UTUSAN










