Boleh buat persiapan kahwin dengan tenang - Syed Saddiq - Utusan Malaysia

Boleh buat persiapan kahwin dengan tenang – Syed Saddiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman,33, mengakui perancangan perkahwinannya dengan tunang yang juga penyanyi dan pelakon, Bella Astillah kini boleh dilakukan dengan lebih tenang selepas mahkamah memutuskan pembebasannya berhubung pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram

Malah, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, keluarganya berharap perkahwinan berkenaan dapat dilangsungkan sebelum penghujung tahun ini.

“Memang boleh buat persiapan kahwin dengan tenang. dipercepatkan, itu antara harapan keluarga yang kita nak kalau boleh tamatkan sebelum akhir tahun,” katanya ketika ditemui pemberita di Istana Kehakiman, hari ini.

Bagaimanapun, ketika diminta memperincikan tahap persiapan perkahwinannya dengan Bella, Syed Saddiq memilih untuk tidak mengulas lanjut kerana mahu menghormati lokasi sidang media berkenaan dilakukan.

Menurut Syed Saddiq, Istana Kehakiman merupakan institusi penting yang perlu diberikan penghormatan sebagai benteng terakhir rakyat dalam mendapatkan keadilan.

“Untuk saya beri pencerahan yang lanjut, kita berilah sedikit penghormatan kerana tempat yang kita ada ini, tempat yang sangat istimewa. Ia bukan cuma tentang Syed Saddiq, tetapi tempat ini.

“Disebabkan itu saya nak berikan penghormatan kepada Istana Kehakiman yang merupakan benteng terakhir bagi rakyat Malaysia yang ingin mendambakan keadilan.

“Kalau boleh, nanti malam ini, Insya-Allah kalau masa saya berlapangan, bolehlah nanti kita buat sesi live, orang boleh tanya banyak soalan,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, keputusan berkenaan bukan sekadar menamatkan penantian selama dua minggu, sebaliknya satu perjalanan panjang yang dihadapinya sejak siasatan bermula pada 2020.

Katanya, sepanjang tempoh berkenaan terdapat pelbagai jalan mudah yang boleh dipilih termasuk menggunakan kuasa dan rundingan politik, namun beliau tetap bertegas menyerahkan proses tersebut kepada institusi kehakiman.

“Ia bukan penantian dua minggu, penantian enam tahun. Pada peringkat awal daripada tahun 2020, siasatan bermula. Ada banyak jalan mudah yang boleh dipilih, iaitu untuk guna kuasa politik, berunding guna jalan politik, minta kes untuk digugurkan, ada banyak lagi cara yang lain.

“Tetapi saya bertegas daripada awal untuk menggunakan saluran institusi kehakiman. Bukan kerana saya ahli politik, tetapi kerana saya perlu meletakkan keyakinan ke atas institusi yang merupakan benteng terakhir rakyat yang ingin mendambakan keadilan.

“Pada masa yang sama saya ingin menunjukkan bahawa kalau kamu seseorang individu yang memperjuangkan kebenaran, kamu yakin kamu berada di pihak benar, kamu tidak perlu guna jalan pintas, tidak perlu dilayan dengan istimewa, tidak perlu menggunakan kuasa, tetapi letakkan keyakinan pada Allah SWT dan kebenaran akhirnya akan menang juga.

“Kerana akhirnya kebenaran itu tidak perlu berdiri dengan adanya kuasa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN