PNB perkenal Wakaf ASNB - Utusan Malaysia

PNB perkenal Wakaf ASNB

PRESIDEN dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn (kiri) dan Pengerusi MAIWP, Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar menyaksikan majlis penyampaian watikah pelantikan AWSB sebagai Mutawalli di Kuala Lumpur, baru-baru ini. – GAMBAR/PNB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemodalan Nasional Berhad (PNB), menerusi Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuhnya, telah memperkenalkan perkhidmatan Wakaf ASNB.

Perkhidmatan itu menyatukan konsep pelaburan dunia dan akhirat bagi membolehkan pelabur ASNB mewakafkan unit amanah mereka untuk manfaat kepada komuniti secara berterusan.

ARIFIN ZAKARIA

Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria berkata, Wakaf ASNB itu berkonsepkan wakaf muabbad iaitu wakaf berkekalan yang mengambil pendekatan untuk menyimpan modal dana wakaf bagi menghasilkan potensi pulangan setiap tahun.

“Pulangan tersebut kemudian akan disalurkan kepada projek-projek wakaf dalam sektor kesihatan, pendidikan, pemerkasaan komuniti dan misi kemanusiaan.

“Memperkenalkan Wakaf ASNB adalah langkah proaktif bagi PNB untuk memperkasa pengurusan wakaf di Malaysia, selaras dengan usaha kerajaan mewujudkan Pelan Induk Wakaf Nasional. Wakaf tersebut akan membuka peluang kepada pelabur-pelabur kami untuk melabur sambil beramal.

“Wakaf itu juga menjadi pelengkap kepada khidmat perancangan kewangan ASNB, merangkumi pelaburan yang pelbagai, serta kemudahan pewarisan melalui Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah,” katanya dalam kenyataan.

Wakaf ASNB adalah hasil kerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang telah melantik ASNB sebagai Mutawalli iaitu pentadbir aset wakaf menerusi anak syarikat ASNB, ASNB Wakalah Sdn. Bhd (AWSB).

Pelantikan itu membolehkan AWSB mengurus dan mengagihkan dana wakaf secara telus dan lancar ke projek-projek pembangunan ummah dan masyarakat bagi pihak pewakaf.

“Kini semua pemegang unit Akaun Dewasa ASNB berbilang kaum boleh mewakafkan unit amanah mereka menerusi perkhidmatan Wakaf ASNB mulai hari ini di semua cawangan ASNB seluruh negara.

“Transaksi wakaf di portal dan aplikasi mudah alih myASNB akan bermula pada 1 November 2021 bagi semua dana ASNB, kecuali ASN Imbang 1 mulai 1 Disember 2021.

“Transaksi minimum Wakaf ASNB adalah sebanyak RM1,000 bagi unit amanah harga tetap dan harga berubah harga silam, dan 1,000 unit minimum bagi unit amanah harga berubah harga hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN