Gabungan KWAP, LTAT bakal wujud entiti pelaburan lebih besar - Utusan Malaysia

Gabungan KWAP, LTAT bakal wujud entiti pelaburan lebih besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penggabungan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) boleh dilaksanakan, kata pakar ekonomi.

Malah, penggabungan membolehkan entiti baharu diwujudkan membuat pelbagai pelaburan yang lebih besar dan mampu memberi pulangan besar seperti yang dilakukan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mempunyai aset menghampiri RM1 trilion.

Bagaimanapun, jika penggabungan itu dilaksanakan kerajaan perlu memastikan tindakan tersebut tidak menjejaskan mana-mana objektif penubuhan kedua-dua entiti itu.

Selain itu, entiti baharu diwujudkan perlu diterajui oleh golongan profesional dan bukan mereka yang memiliki kepentingan politik.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, objektif KWAP adalah untuk menguruskan dana yang ditubuhkan di bawah Seksyen 13 Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007 ke arah mencapai pulangan optimum melalui aktiviti pelaburannya.

Sementara itu, LTAT pula ditubuhkan untuk mengoptimumkan faedah persaraan dan memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada anggota angkatan tentera menerusi amalan dan piawaian yang terbaik.

“Oleh itu, jika KWAP dan LTAT digabungkan, kerajaan harus memastikan bahawa objektif utama kedua-dua entiti itu tidak akan terjejas,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Beliau diminta mengulas desas-desus mengenai penggabungan kedua-dua entiti itu dalam usaha menjadikannya lebih kukuh dari segi sumber dana, seterusnya membuat pelaburan yang memberikan pulangan lebih tinggi kepada pemegang taruh.

Menurut Ahmed Razman, saiz dana KWAP pada 2018 adalah sebanyak RM136 bilion manakala LTAT pada RM97 bilion, kedua-duanya jauh lebih rendah daripada KWSP.

“Apabila KWSP mempunyai dana yang tinggi, mereka mampu memperuntukkan satu pertiga pelaburan ke luar negara yang memberi pulangan lebih tinggi.

“Ini juga boleh dilakukan oleh KWAP dan LTAT apabila mereka bergabung kerana mempunyai dana yang tinggi,” katanya.

Namun, jelas Ahmed Razman, penggabungan tersebut berisiko memberikan kesan negatif sekiranya tidak berlaku sinergi yang diharapkan disebabkan pertindihan portfolio dan penyusunan strategi yang tidak kemas.

Kata beliau, risiko tersebut berkemungkinan berlaku jika entiti baharu itu dikemudi golongan yang berkepentingan politik.

“Ini risiko terbesar kerana kita sedia maklum, apabila organisasi milik kerajaan diterajui pemimpin yang berkepentingan politik, tadbir urus korporat akan terjejas dan prestasi syarikat akan merudum.

“Seharusnya entiti baharu ini diterajui oleh pakar pelaburan yang profesional dan mempunyai nilai integriti yang tinggi supaya nasib penjawat awam lebih terjamin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN