Pinjaman 40 tahun bantu pulih industri hartanah - Utusan Malaysia

Pinjaman 40 tahun bantu pulih industri hartanah

GALAKAN pembelian rumah pertama dapat memberi impak menyeluruh kepada ekonomi kerana industri hartanah mempunyai kesan penggandaan yang kritikal kepada banyak industri lain. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) menyokong cadangan memperkenalkan inisiatif tambahan bagi memudahkan perjalanan pembeli rumah pertama terutama mengembalikan tempoh maksimum pinjaman hingga 40 tahun dalam Belanjawan 2022.

Presidennya, Datuk Soam Heng Choon berkata, cara itu dapat mempercepat pemulihan industri hartanah yang terjejas akibat pandemik Covid-19 yang berlarutan sejak tahun lalu.

“Cara ini bakal memberi kesan meluas kepada ekonomi secara keseluruhan kerana industri hartanah mempunyai kesan penggandaan kritikal kepada lebih 140 industri.

“Justeru, saya menyokong penuh cadangan inisiatif antaranya meningkatkan tempoh pinjaman serta merujuk kepada pendapatan kasar berbanding pendapatan bersih untuk permohonan pinjaman,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, Pengasas dan Pengarah Urusan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum dalam kenyataannya mencadangkan inisiatif tersebut selain menetapkan pembiayaan margin lebih tinggi sehingga 100 peratus untuk hartanah pertama bagi membantu kumpulan M40 dan B40 yang terkesan teruk berikutan pandemik Covid-19.

Beliau turut berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pelaksanaan Skim Tanggungan Faedah Pemaju (DIBS) untuk pembeli rumah kali pertama kerana ia memberikan mereka pilihan untuk tidak membayar faedah pinjaman dan sewa pada masa yang sama dalam tempoh pembinaan.

“Selain itu, lanjutkan kempen pemilikan rumah (HOC) untuk tempoh setahun lagi kerana kempen tersebut terbukti penting dalam menolong pembeli rumah sejak dilancarkan manakala Pengecualian Cukai keuntungan Harta Tanah (CKTH) juga patut dihapuskan ke atas hartanah yang dijual selepas lima tahun,” ujarnya.

Jelas beliau, pakej rangsangan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) kini menawarkan pengecualian CKTH dari 1 Jun 2020 hingga 31 Disember 2021, di mana CKTH dikecualikan untuk tiga kediaman hartanah setiap individu.

“Inisiatif tersebut diterima baik oleh pasaran memandangkan ia mampu mendorong penambahbaikan kediaman dan meningkatkan pasaran hartanah utama dan sekunder.

“Bagaimanapun, pengenaan semula CKTH ke atas hartanah yang dijual selepas lima tahun mungkin akan mengurangkan pemulihan segmen hartanah sekunder dan tidak menggalakkan pelaburan jangka panjang. 

“Justeru, kami harap cukai itu dapat dihapuskan bagi mendorong meningkatkan pasaran sekunder dan sentimen pembeli rumah,” jelasnya.

Tambah beliau, sejajar dengan hasrat mengurangkan harga rumah untuk memberi manfaat kepada pembeli rumah, kerajaan diharap dapat mengkaji dan mengurangkan kos pematuhan termasuk membenarkan perbelanjaan modal untuk syarikat utiliti swasta ditanggung oleh pemilik aset masing-masing supaya simpanan dapat disalurkan kepada pembeli. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.