PETALING JAYA: Beban tugas yang semakin bertambah, komitmen di luar waktu persekolahan dan pelbagai cabaran mendidik generasi masa kini tidak pernah mematahkan semangat guru untuk terus memberikan yang terbaik buat anakanak murid mereka.
Guru hari ini turut memainkan pelbagai peranan lain termasuk sebagai pembimbing, pendengar, jurulatih, pengurus program dan individu yang sentiasa memastikan pelajar terus mendapat perhatian serta sokongan dalam aspek pembelajaran dan kehidupan.
Guru Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Melawati, Filzah Mohd. Sharuddin berkata, tenaga pengajar di kawasan bandar kini perlu lebih kreatif menyesuaikan kaedah pembelajaran mengikut perubahan semasa dan minat generasi muda.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pendekatan dalam kelas perlu disampaikan dengan cara lebih dekat dengan kehidupan harian pelajar supaya mereka lebih mudah memberi tumpuan ketika sesi pembelajaran berlangsung.
“Cabaran mengajar di sekolah bandar ialah murid sangat cepat mengetahui isu semasa dan perkara yang tular kerana kebanyakan mereka mempunyai telefon bimbit sendiri.
“Jadi, guru perlu mengikuti perkembangan semasa dan mengaitkan perkara yang tular dengan pengajaran dalam kelas supaya pelajar lebih mudah memberi perhatian dan memahami apa yang dipelajari.
“Selain itu, ibu bapa di kawasan bandar juga sangat cakna tentang pelajaran anak-anak. Mereka sering bertanya mengenai kerja sekolah dan perkembangan anak termasuk pada waktu malam,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebagai pendidik, Filzah berkata, kesibukan menguruskan pelbagai program sekolah dan aktiviti pelajar tidak pernah menghalang semangatnya untuk terus membantu anak murid mencapai potensi terbaik mereka.
“Membawa pelajar menyertai pertandingan atau latihan sudah menjadi perkara biasa dan ada masanya guru berada di luar sekolah selama beberapa hari demi memberi sokongan kepada mereka. Walaupun penat, saya tetap gembira apabila melihat mereka semakin berani dan yakin dengan kebolehan sendiri,” katanya.
Sementara itu, guru Sejarah di Sekolah Kebangsaan (SK) Tambak Jawa, Muhammad Nazrul Iman Mazle berkata, cabaran utama di kawasan luar bandar adalah memastikan pelajar terus bersemangat menuntut ilmu, walaupun berdepan kekurangan pendedahan akademik.

Katanya, kebanyakan murid bergantung kepada pembelajaran di sekolah kerana kurang mendapat bimbingan tambahan di rumah.
“Kebanyakan pelajar datang daripada keluarga yang mementingkan kelangsungan hidup harian seperti bekerja kampung atau membantu keluarga menyebabkan akademik diletakkan sebagai nombor dua,” katanya. – UTUSAN










