29 sekolah di Langkawi bersedia mulakan sesi bersemuka 3 Oktober - Utusan Malaysia

29 sekolah di Langkawi bersedia mulakan sesi bersemuka 3 Oktober

Dr. RADZI Jidin meninjau persiapan menerima kehadiran pelajar menjelang pembukaan sesi bersemuka di Kolej Vokasional Langkawi, semalam. – UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Sebanyak 29 buah sekolah di pulau ini bersedia sepenuhnya menerima kehadiran pelajar menjelang pembukaan sesi bersemuka bermula pada 3 Oktober ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pengoperasian sekolah di pulau legenda ini akan dilaksanakan mengikut ketetapan negeri dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurutnya, pulau peranginan itu berada dalam Fasa 4 PPN selepas Langkawi diumumkan menjadi kawasan pelaksanaan projek rintis gelembung pelancongan bermula pada 16 September lalu.

Katanya, beliau telah mengadakan tiga sesi libat urus pengoperasian sekolah bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru sekolah rendah dan menengah serta guru besar dan pengetua semua sekolah di pulau ini.

“Dalam sesi libat urus itu, saya memperjelaskan dan memperincikan lagi perkara berkaitan pengoperasian sekolah dan hal-hal berbangkit yang memerlukan penjelasan Kementerian Pendidikan.

“Sesi itu juga memberi ruang untuk saya mendapatkan maklum balas secara telus daripada pentadbir sekolah, guru dan PIBG yang mewakili ibu bapa.

“Semua pihak perlu memahami dengan jelas tatacara pengoperasian sekolah yang telah ditetapkan seperti penggiliran dan kehadiran murid serta prosedur operasi standard (SOP) termasuk aspek pengudaraan yang baik bagi bilik darjah, bilik guru dan pejabat,” katanya.

Dr. Radzi berkata demikian selepas meninjau persiapan pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka di Kolej Vokasional Langkawi di sini kelmarin.

Dua lagi kawasan yang telah memasuki Fasa 4 PPN ialah Labuan dan Negeri Sembilan.

Selama dua hari berada di Langkawi, beliau turut melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Teriang, SK Kedawang dan Kolej Vokasional Langkawi.

Beliau juga melawat sebuah sekolah menengah dan tiga buah sekolah rendah di Pulau Tuba.

Sekolah-sekolah itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkawi Pulau Tuba dan SK Lubuk Chempedak, SK Tuba serta SK Selat Bagan Nyior.

Dr. Radzi memberitahu, pihak pentadbiran sekolah juga perlu membuat persediaan awal untuk memastikan persekitaran sekolah adalah teratur dan selamat sebelum pelajar kembali belajar secara bersemuka.

“Dalam keadaan apa jua keadaan, keselamatan murid sentiasa diberi keutamaan,” ujarnya.

Selain itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada guru-guru dan ibu bapa kerana memahami aspirasi dan hasrat Kementerian Pendidikan untuk menyediakan akses pendidikan terbaik dalam waktu yang sukar ini.

“Komitmen seluruh warga pendidik di Langkawi amat kami hargai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya