PETALING JAYA: Syarikat pemaju hartanah, SP Setia Berhad merekodkan keuntungan bersih RM150.04 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2021, berbanding kerugian bersih RM110.25 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Prestasi memberangsangkan itu didorong prestasi jualan yang mengukuh kepada RM2.71 bilion dengan projek tempatan menyumbang sehingga 77 peratus atau RM2.07 bilion.
Menurut SP Setia, Kumpulan mencatat keuntungan bersih bagi suku kedua tahun semasa menokok kepada RM74.81 juta berbanding kerugian bersih RM134.34 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia, Datuk Khor Chap Jen berkata, hasil yang dicapai untuk separuh pertama tahun ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh prestasi penjualan yang kukuh untuk lima bulan pertama tahun kewangan berdasarkan sentimen pasaran yang baik pada awal tahun ini.
Walau bagaimanapun ujarnya, permulaan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (PKPP) pada Jun 2021 telah memperlahankan penukaran tempahan kepada penjualan yang dimuktamadkan.
“Namun, kami gembira melihat jumlah tempahan yang diterima pada 30 Jun berjumlah RM954 juta.
“Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM687 juta kebanyakannya terdiri daripada rumah teres dua tingkat yang berpatutan dan rumah berkembar dilancarkan dalam tempoh ini dengan kadar pengambilan yang tinggi dilihat terutamanya di bandar-bandar yang mapan dan matang.
“Tempahan untuk Setia Alam dan Bandar Kinrara telah melangkaui 90 peratus ketika dilancarkan,” katanya dalam kenyataan.
Memasuki separuh kedua 2021, Kumpulan juga telah memeterai perjanjian jual dan beli bersyarat bagi pelupusan lapan bidang tanah berkeluasan 959.7 ekar di Tebrau, Johor bernilai RM518.1 juta menerusi anak syarikat yang dimilikinya secara tidak langsung, Pelangi Sdn. Bhd.
Setakat 30 Jun lalu, Kumpulan mempunyai 47 projek yang masih berjalan, dengan ukuran tanah yang dipegang berjumlah 7,483 ekar atau GDV RM125.1 bilion dan jualan yang belum dibilkan bernilai RM10.30 bilion.
Jelas Chap Jen, kumpulan kekal optimis terhadap prospek pasaran dan akan terus menumpukan kepada usaha untuk mencapai sasaran jualan bernilai RM3.80 bilion.
“Kami menjangkakan ekonomi secara umumnya sektor hartanah akan pulih beransur-ansur dalam tempoh beberapa suku tahun akan datang, didorong program vaksinasi yang berkesan,” jelasnya. – UTUSAN










