Richard Loh dilantik Ketua Pegawai Inovasi dan Teknologi MDEC - Utusan Malaysia

Richard Loh dilantik Ketua Pegawai Inovasi dan Teknologi MDEC

Richard Loh Tian Hu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) mengumumkan pelantikan Richard Loh Tian Hu sebagai Ketua Pegawai Inovasi dan Teknologi.

Richard akan melaporkan diri di bawah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan dilantik sebagai anggota Majlis Operasi MDEC (MOC).

Menurut MDEC, Richard berpengalaman lebih 24 tahun dalam bidang kecerdasan buatan (AI), data dan teknologi maklumat.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Maklumat di beberapa syarikat gergasi seperti Nokia, Siemens, AIG Insurance, Zurich Insurance dan AXA Partners.

“Beliau akan menggalas tanggung jawab untuk menerajui dan membina Strategi Teknologi Maklumat, Pelan Digital dan Transformasi MDEC.

“Richard juga ditugaskan untuk mengkaji, menyusun semula dan mengintegrasikan fungsi dan infrastruktur teknologi demi meningkatkan keupayaan MDEC serta memastikan ia sejajar dengan objektif untuk memberikan perkhidmatan teknologi dan inovasi digital yang lebih dinamik serta responsif terhadap para pelanggan,” katanya dalam kenyataan.

Pengerusi MDEC, Datuk Wira Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, Richard memiliki pengalaman dan pengetahuan luas yang boleh memacu inisiatif transformasi digital MDEC lebih jauh.

Beliau berkata, ia bakal memberi manfaat kepada semua, menggalakkan masyarakat berintegrasi dengan teknologi, berpaksikan keterangkuman dan kesamaan sejajar dengan Malaysia 5.0.

“Ini dapat dilihat menerusi pengalaman dan pencapaian beliau, dengan itu, saya sukacita dan mengalu-alukan kehadiran beliau ke dalam pasukan MDEC,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, Richard akan memperukuhkan strategi teknologi maklumat dan keselamatan data MDEC, selaras dengan peningkatan keupayaan serta kapasitinya dalam ekonomi digital secara keseluruhannya.

“Saya yakin Richard akan terus memberi nilai tambah dan memastikan kami meningkatkan kekuatan dan penyampaian kami kepada para pelanggan, demi menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN dan mencapai objektif dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL),” katanya.

Dalam pada itu, Richard berkata, beliau sangat teruja untuk berkhidmat bersama MDEC dan menjadi sebahagian daripada usaha menjadikan negara sebagai pemain utama dalam ekosistem digital di peringkat serantau dan global secara amnya.

“Berkhidmat untuk rakyat Malaysia merupakan satu penghargaan tertinggi buat saya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN