CYBERJAYA: Syarikat teknologi terkemuka yang mempromosikan inisiatif mobiliti pintar, Govicle Sdn. Bhd. bekerjasama dengan Finology Sdn. Bhd. menyediakan perkhidmatan pembaharuan insurans kenderaan dan cukai jalan secara digital kepada lebih 500,000 pengguna dalam aplikasi JomParking.
Ketua Pegawai Eksekutif Govicle, Muhamad Nasir Habizar berkata, Finology merupakan syarikat pertama di Malaysia sejak tahun 2019 yang menawarkan pembaharuan insurans kenderaan dan cukai jalan secara atas talian melalui Loanstreet.com.my.
Katanya, syarikat berkenaan membolehkan pengguna akses ke produk kewangan dari bank dan syarikat insurans secara digital.
“Pengguna kenderaan kini boleh mengelakkan kerumitan dari berurusan dengan pelbagai ejen insurans kenderaan sambil menikmati kemudahan perkhidmatan tambah nilai termasuk transaksi tanpa tunai, perkhidmatan penghantaran cukai jalan dan lain-lain.
“Kerjasama strategik dengan Finology membolehkan kami menyediakan perkhidmatan insurans dan cukai jalan yang cepat, mudah dan selamat kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Nasir berkata, langkah itu sekali gus memberikan nilai lebih besar bagi semua pengguna ketika pihaknya ingin mengorak langkah ke proses digitalisasi dan dalam usaha mempercepat penyelesaian mobiliti pintar di Asia Tenggara.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Finology, Robin Ang menambah, pada masa ini adalah saat terbaik untuk mempercepatkan penerapan teknologi ketika pandemik Covid-19 bagi kemuncak peralihan digitalisasi .
“Going digital adalah keperluan pada masa kini. Kerjasama kami dengan Govicle sangat ideal, kerana para pengguna aplikasi JomParking boleh mengakses pelbagai pilihan insurans kenderaan untuk memastikan perlindungan terbaik dengan harga berpatutan.
“Kami yakin para pengguna aplikasi JomParking akan menikmati banyak kemudahan dengan cara yang sama seperti syarikat pihak ketiga iaitu iProperty, MyEG & Mudah kerana kami juga membolehkan pelbagai akses produk kewangan,” tambahnya.
Kerjasama antara Govicle dan Finology membuktikan kesediaan dalam mengutamakan peluang pertumbuhan yang terbaik melalui penyelesaian digital dan mempromosikan pilihan pengguna pintar. – UTUSAN










