PETALING JAYA: Penggiat industri pelancongan khususnya pengendali umrah digesa untuk membuat persediaan dengan kadar segera untuk mengendalikan jemaah umrah sebaik sahaja pintu sempadan negara dibuka.
Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Harun KC Ahmmu berkata, menurut laporan media Arab Saudi, kerajaan negara itu akan membuka pintu sempadan mereka mulai 10 Ogos (hari ini).
“Kelulusan telah diberikan kepada syarikat pengendali umrah negara mereka untuk memeterai kontrak perkhidmatan umrah dengan syarikat pengendali umrah luar negara.
“Justeru, pengendali umrah harus merebut peluang itu dengan berurusan dengan syarikat pengendali umrah Arab Saudi bagi memeterai kontrak sebagai persediaan untuk mengendalikan Jemaah Umrah kelak,” katanya dalam kenyataan.
Ujarnya, penyempurnaan kontrak itu adalah termasuk penyediaan surat jaminan bank oleh ejen luaran (external agent) sebanyak 200,000 riyal (RM225,503.73) yang akan mengambil masa untuk disediakan.
Oleh itu, Harun menjelaskan, setiap syarikat pelancongan Malaysia yang menepati syarat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) patut sempurnakan ikatan dengan pihak agensi Arab Saudi yang ditauliahkan supaya sebaik sahaja sempadan pintu negara Malaysia dibuka, boleh terus beroperasi.
Beliau dalam pada itu menasihatkan syarikat pelancongan dan pengendali umrah, usah terburu-buru mengeluarkan harga anggaran pakej kerana tindakan itu akan mewujudkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam serta membuka ruang kepada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.
“Sebelum harga pakej umrah dikeluarkan, patuhilah syarat yang ditetapkan oleh MOTAC dan kajilah peraturan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi serta kerajaan Malaysia.
“SOP dan peraturan kedua-dua negara akan mempengaruhi nilai harga pakej umrah dalam tempoh pandemik dan pasca pandemik,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Harun turut menggesa ahli-ahli pelancongan domestik untuk aktifkan kembali syarikat masing-masing yang terhenti operasi sejak Mac tahun lalu dengan merebut pelbagai peluang yang disediakan oleh kerajaan seperti Pakej Rangsangan Ekonomi, Dana Galakkan Melancong Malaysia (Gamelan), Dana Sokongan Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (GSPSB) serta Penjana Tourism Financing (PTF).
Menurut Harun, pelbagai ruang dan peluang untuk menggalakkan pelancongan juga disediakan oleh kerajaan negeri seperti subsidi baucar pelancongan Negeri Selangor.
“Kejayaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) mengikut jangkaan fasa berperingkat dari Jun hingga November dan Disember 2021 akan memberi nafas baharu kepada sektor pelancongan dan juga sektor-sektor lain.
“Sekarang adalah masa untuk semua pengendali syarikat pelancongan Malaysia bersiap sedia dengan memanfaatkan peluang yang ada untuk hidupkan semula perniagaan masing-masing kerana pemulihan semakin hampir,” katanya. – UTUSAN










