PETALING JAYA: Celcom Axiata Berhad (Celcom) terus menawarkan bantuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan pengecualian caj langganan selama tiga bulan pertama untuk melanggan Celcom Business Suite, iaitu kit digital inovatif untuk PKS.
Celcom bersama-sama Microsoft Malaysia, Moduleight Technologies Sdn. Bhd., Payroll Panda Sdn. Bhd., Zimperium, dan Vigilant Asia (M) Sdn. Bhd, amat memahami cabaran dari segi kewangan yang dihadapi PKS dalam tempoh mencabar ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Idham Nawawi berkata, Celcom dan rakan teknologi dalam ekosistemnya komited untuk menyokong transformasi digital PKS dan PKS mikro, bagi membolehkan mereka mengukuhkan perniagaan.
Ujarnya, selain pengecualian tersebut, PKS juga akan menikmati penjimatan sebanyak 30 peratus selama setahun melalui Geran Padanan Digitalisasi Perniagaan PKS, yang diperkenalkan kerajaan melalui Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (Penjana).
“Transformasi digital hari ini merupakan faktor penting dalam keutuhan perniagaan. Celcom bersama rakan kami ingin menggalakkan perniagaan walaupun sekecil PKS mikro untuk menggunakan alat dan penyelesaian digital yang terbaik.
“Kami berharap bantuan tersebut dapat membantu meringankan beban kewangan dan dalam masa yang sama dapat meneruskan perjalanan transformasi digital mereka,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Idham, PKS tetap menjadi segmen yang terus mencatatkan pertumbuhan dalam memacu ekonomi negara dan bantuan penyelesaian digital yang mampu dimiliki untuk transformasi perniagaan mereka adalah amat tepat.
“Kami juga ingin melahirkan penghargaan kami kepada rakan teknologi yang mempunyai aspirasi yang sama dalam memacu lanskap PKS di Malaysia.
“Melalui kerjasama sebegini, kita dapat mewujudkan situasi menang bersama bagi PKS, pelanggan serta maju ke hadapan untuk mencapai aspirasi negara ke arah ekonomi digital,” ujarnya.
Celcom Business Suite kini ditambahbaik dengan Celcom Business Suite Productivity Pack, di mana pengusaha boleh terus menguruskan operasi perniagaan mereka dengan lancar, hanya pada RM58 sebulan.
Tawaran bagi tiga bulan langganan percuma ini dibuka sehingga 22 Oktober 2021.
Pelanggan Celcom Business Suite yang sedia ada juga boleh menikmati faedah ini dengan memilih untuk bertukar ke pelan terbaharu ini serta menikmati penjimatan 30% melalui geran digitalisasi Penjana. – UTUSAN










