PETALING JAYA: Komark Mask (M) Sdn. Bhd. (Komark) dengan kerjasama Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad (KPDRM) telah menyumbang sebanyak 10,000 kotak pelitup muka khas jenis 3 Ply kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sumbangan telah disampaikan oleh Pengerusi KomarkCorp Bhd., Tengku Ezuan Ismara kepada Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim di Bukit Aman, kelmarin.
Penyerahan sumbangan disaksikan oleh Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi PDRM, Datuk Seri Sahabudin Abd. Manan dan Pengerusi KPDRM, Datuk Seri Ayub Yaakob.
KPDRM dalam satu kenyataan berkata, sumbangan sebagai tanda keprihatinan dan terima kasih kepada PDRM yang begitu komited menjadi petugas barisan hadapan dalam memastikan keselamatan dan keamanan negara terjamin ketika berdepan pandemik Covid-19.
Jelasnya, sebagai petugas barisan hadapan, anggota PDRM berisiko tinggi untuk dijangkiti virus Covid-19 dan sebagai langkah penjagaan diri, pemakaian pelitup muka lebih ‘hygienic’ dan berkualiti amat diperlukan.
“Justeru, Komark mengambil rasa tanggungjawab menghasilkan pelitup muka yang direka khas buat anggota PDRM di mana pelitup muka ini mempunyai empat lapisan dan dibungkus satu persatu untuk mengekalkan kebersihan sebelum dan semasa penggunaan.
“Dengan ciri yang direka khas seperti ini diharap dapat memberi perlindungan dan keselesaan kepada anggota PDRM untuk dipakai dalam tempoh yang panjang semasa penugasan,” katanya.
Sementara itu, Ayub berkata, polis berhadapan dengan orang ramai setiap hari dan perlindungan semaksimum mungkin perlu diberikan kepada mereka.
“Saya lihat pelitup muka yang disumbangkan amatlah menitikberatkan keselesaan dan perlindungan menyeluruh, tahniah diucapkan kepada Komark di atas inisiatif ini,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Lembaga Bukan Eksekutif Bebas Komark, Koo Kian Keat dan Ketua Pegawai Eksekutif KPDRM, Aminuddin Amenon.
KPDRM ditubuhkan pada 24 April 1928 dengan tujuan membantu mengurangkan bebanan kewangan anggota polis dan kakitangan PDRM. Sehingga kini, KPDRM mempunyai seramai
107,598 ahli dari seluruh negara.
KPDRM telah membangun daripada sebuah koperasi yang menyediakan urusan pinjam-meminjam, kepada sebuah konglomerat yang sehingga kini memiliki aset pada nilai buku sebanyak RM689.5 juta. – UTUSAN










