PETALING JAYA: Cisco System Malaysia (Cisco Malaysia) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan CyberSecurity Malaysia, agensi pakar keselamatan siber nasional di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, MoU itu akan melengkapkan usaha strategik kerajaan dalam menaik taraf keupayaan keselamatan siber bagi mempersiapsiagakan Malaysia ke arah ekonomi digital yang boleh dipercayai, terjamin dan berdaya tahan.
“Menerusi kerjasama dengan CyberSecurity Malaysia, negara kita dapat memanfaatkan teknologi, proses dan kepakaran Cisco yang terbukti,” katanya dalam kenyataan.
Beliau sebelum itu menyempurnakan majlis MoU berkenaan secara maya dengan turut dihadiri Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Brian D, Mcfeeters.
Pada majlis itu, Cisco Malaysia diwakili Pengarah Urusannya yang baharu dilantik, Hana Raja manakala CyberSecurity diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ts. Dr. Amirudin Abdul Wahab.
Sementara itu, Hana berkata, sebagai rakan kongsi yang komited kepada negara, pihaknya akan terus memainkan peranan untuk menyokong perjalanan digital Malaysia dan pelbagai aspek pendigitalan termasuk keselamatan siber.
Kata beliau, MoU itu menegaskan komitmen jangka panjang Cisco untuk memacu Malaysia sebagai ekosistem yang selamat, bagi meningkatkan keyakinan terhadap pertumbuhan ekonomi serta peluang sosial yang lebih inklusif.
“Kami teruja berpeluang bekerjasama dengan CyberSecurity Malaysia dan kerajaan Malaysia untuk berkongsi kepakaran kami dalam bidang ini,” katanya.
Amirudin pula berkata, kerjasama itu mencerminkan pendekatan progresif kerajaan terhadap keselamatan siber dengan melaksanakan pelbagai langkah wajar bagi meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan negara.
“Selari dengan kerjasama ini, CyberSecurity Malaysia bakal memanfaatkan kepakaran Cisco bagi memperluas kajian dalam ancaman keselamatan siber menerusi perkongsian maklumat serta kolaborasi untuk menyediakan perisikan khusus tentang ancaman dan insiden siber,” katanya. – UTUSAN










