BNM, SC tingkat respons sektor kewangan terhadap risiko iklim - Utusan Malaysia

BNM, SC tingkat respons sektor kewangan terhadap risiko iklim

MALAYSIA berbesar hati telah mempengerusikan Asia/Pacific Group on Money Laundering (APG) selama dua tahun dan akan digantikan oleh Kanada. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) akan terus mempertingkatkan inisiatif untuk mengukuhkan keupayaan sektor kewangan dalam menguruskan risiko berkaitan iklim.

Menurut kenyataan bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC), satu Kumpulan Pelaksana CCPT akan ditubuhkan untuk menyokong pelaksanaan secara konsisten dan dengan jayanya inisiatif itu oleh institusi kewangan.

Penubuhan Kumpulan Pelaksana itu dibuat berikutan penerbitan Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip (CCPT) pada April lalu.

Jelas kenyataan itu, seramai 12 ahli JC3 telah memberikan komitmen untuk mengadaptasi CCPT peringkat awal, melebihi jangkaan institusi kewangan yang dikawal selia oleh BNM untuk mengklasifikasi dan melaporkan aktiviti peminjaman dan pelaburan mereka selaras dengan CCPT mulai Julai 2022.

“CCPT menyediakan rangka kerja umum untuk pengklasifikasian pendedahan institusi kewangan yang berkaitan dengan risiko iklim bagi menyokong penilaian risiko dan mendorong aliran kewangan ke arah melestarikan ekonomi (ekonomi hijau),” katanya dalam kenyataan.

Tambah kenyataan itu, JC3 yang mengadakan mesyuarat kali kelima 2 Ogos lalu, turut mengkaji semula kemajuan kerja-kerja yang dijalankan untuk membangunkan panduan rujukan mengenai pengurusan risiko iklim dan analisis senario, serta penzahiran berkaitan iklim, pada suku keempat tahun ini.

Jelasnya, JC3 turut berusaha menghasilkan senario iklim rujukan tempatan yang relevan bagi Malaysia untuk meningkatkan kefahaman mengenai impak fizikal dan peralihan perubahan iklim menurut trend iklim yang berbeza–beza.

“Ini seterusnya akan menyokong penilaian risiko, penyelarasan strategi perniagaan yang lebih baik dengan sasaran iklim, dan penzahiran berkaitan iklim oleh institusi kewangan. Ahli-ahli turut membincangkan rancangan untuk mewajibkan penzahiran kewangan berkaitan iklim oleh institusi kewangan. Maklumat lebih lanjut mengenai rancangan ini akan diumumkan pada akhir tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu katanya, rangka tindakan Jawatankuasa Kecil bagi Menangani Jurang Data (Bridging Data Gaps) yang baru ditubuhkan telah disahkan dalam mesyuarat tersebut.

Katanya, ahli-ahli JC3 menyokong penyusunan keutamaan kes penggunaan awal oleh Jawatankuasa Kecil tersebut, yang merangkumi data untuk menyokong keputusan pelaburan dan peminjaman, pemodelan makroekonomi, ujian tekanan, analisis senario dan pembangunan produk.

Tambahnya, ahli-ahli turut membincangkan Pelan Tindakan Iklim Kuala Lumpur 2050 yang dilancarkan baru-baru ini dan bersetuju untuk bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi meraih peluang sektor kewangan dalam menangani keperluan kewangan lestari bagi bandar raya itu.

Ahli-ahli juga bersetuju untuk mencalonkan wakil-wakil JC3 dalam Rangkaian Tindakan CEO (CEO Action Network – CAN), gabungan kerjasama ketua pegawai eksekutif pihak korporat dan PKS yang komited untuk memangkin dan mempercepat penerapan amalan lestari dalam syarikat korporat dan ekosistem perniagaan di Malaysia.

JC3 ditubuhkan pada September 2019 untuk melaksanakan tindakan kerjasama bagi membangunkan daya tahan iklim dalam sektor kewangan Malaysia.

JC3 dipengerusikan bersama oleh Timbalan Gabenor BNM, Jessica Chew Cheng Lian dan Timbalan Ketua Eksekutif SC, Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin dengan ahli terdiri daripada pegawai kanan Bursa Malaysia dan 19 pemain industri kewangan serta pakar-pakar yang berkaitan.

Inisiatif dan keutamaan JC3 di bawah tanggungjawab lima jawatankuasa kecilnya iaitu Pengurusan Risiko; Tadbir Urus dan Penzahiran; Produk dan Inovasi; Keterlibatan dan Pembinaan Keupayaan serta Menangani Jurang Data. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN