PETALING JAYA: UOB Malaysia melancarkan perkhidmatan pembukaan akaun digital bagi membolehkan pelanggan membuka akaun bank peribadi melalui aplikasi perbankan mudah alih UOB Mighty.
Menurut UOB, ia merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak bank untuk memanfaatkan teknologi bagi menjadikan perbankan lebih mudah dan selamat kepada pelanggannya.
Melalui aplikasi itu jelasnya, pelanggan boleh memulakan perjalanan kewangan mereka dalam masa 10 minit sahaja, justeru mengurangkan purata masa biasa yang diambil untuk membuka akaun secara bersemuka sehingga 60 peratus.
Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perkhidmatan Kewangan Peribadi UOB Malaysia, Ronnie Lim berkata, perkhidmatan pembukaan akaun digital yang ditawarkan melalui UOP Mighty, sejajar dengan pilihan pengguna untuk beralih kepada perbankan dalam talian ketika mereka kekal di rumah semasa pandemik.
Katanya, sebagai bank yang telah berkhidmat selama 70 tahun untuk rakyat Malaysia, tumpuan UOB adalah sentiasa menginovasi dan meningkatkan produk serta perkhidmatan kewangannya agar dapat menjangka keperluan pelanggan.
“Matlamat kami adalah supaya mereka menikmati pengalaman perbankan digital yang lancar dengan ciri-ciri perbankan yang lengkap, dari pembukaan akaun hingga menjalankan transaksi, semuanya di hujung jari mereka pada bila-bila masa,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Kajian Sentimen Pengguna ASEAN UOB, lebih separuh daripada responden memilik untuk membuka akaun secara dalam talian, manakala 67 peratus bersedia untuk memohon produk kewangan melalui internet atau perbankan mudah alih.
Justeru kata Lim, dengan mendigitalkan permohonan dan proses pembukaan akaun, pelanggan boleh memohon untuk membuka akaun bank dari rumah tanpa perlu mengisi borang kertas yang panjang.
“Kami juga telah mengintegrasikan penyelesaian Kenali Pelanggan Anda secara elektronik (electronic Know Your Customer atau e-KYC) untuk menentusah dan mengesahkan identiti pelanggan.
“Ini bermakna, pelanggan baharu tidak perlu mengunjungi cawangan secara peribadi untuk mengesahkan identiti mereka sebelum membuka akaun. Selepas menghantar permohonan, mereka akan menerima pemberitahuan mengenai status permohonan mereka melalui aplikasi dalam tempoh dua minit.
“Sebaik sahaja permohonan disahkan dan diluluskan, pelanggan boleh memindahkan dana ke akaun bank baharu mereka untuk mengaktifkannya. Dalam beberapa minit sahaja, mereka boleh mula menggunakan akaun deposit pilihan untuk menambah dan menguruskan kewangan mereka,” jelas beliau.- UTUSAN










