Tingkat nisbah hutang, bantu rakyat - Utusan Malaysia

Tingkat nisbah hutang, bantu rakyat

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan disaran meningkatkan nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan nisbah pembayaran faedah ke tahap yang lebih tinggi untuk tempoh sekurang-kurangnya lima tahun bagi mengawal kesan Covid-19 dan membantu pemulihan ekonomi selepas pandemik terkawal.

Kumpulan ekonomi, Penyelidikan untuk Kemajuan Sosial (Refsa) berkata, langkah itu membolehkan kerajaan terlibat dengan polisi pengembangan fiskal berbiaya defisit yang lebih menyeluruh bagi menyelamatkan kehidupan rakyat dan perniagaan.

Menurut Refsa, banyak negara telah berbelanja lebih had sejak awal pandemik tanpa menjejaskan penarafan kreditnya, termasuk Brazil yang mengaktifkan klausa pelepasan dalam peraturan fiskalnya, Jepun yang meningkatkan siling dana rizab Covid-19 dan Maghribi meningkatkan pinjaman luar.

“Nisbah hutang kepada KDNK Malaysia sebanyak 60 peratus adalah lebih kepada langkah statutori berbanding sesuatu yang berasaskan logik ekonomi, menjadikan ia sebagai sasaran bergerak yang boleh ditingkatkan sementara sejajar dengan situasi semasa,” katanya.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada cadangan dalam strategi ketiga #ProjekMuhibah Refsa yang disediakan oleh bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming; Penasihat Ekonomi Refsa, Frederik Paulus dan Penyelidik Refsa, Jaideep Singh.

Institut penyelidikan itu turut mencadangkan supaya kerajaan meningkatkan tahap perbelanjaan, terutamanya dalam bentuk suntikan tunai secara langsung kepada individu dan pemilik perniagaan kecil yang terkesan teruk akibat pandemik.

Menurutnya, sebahagian besar peruntukan dalam pakej bantuan yang telah diperkenalkan kerajaan bukanlah dalam bentuk perbelanjaan fiskal secara langsung.

Sebaliknya, kata Refsa, ia merupakan dana yang diperoleh dari pembayaran tertunda melalui moratorium pinjaman, jaminan dan kemudahan pinjaman yang disediakan oleh agensi kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) serta individu melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Perbelanjaan fiskal secara langsung hanya berjumlah RM87.6 bilion atau kira-kira 16.5 peratus untuk sembilan pakej rangsangan tersebut,” katanya.

Refsa turut menyifatkan jumlah sokongan yang diberikan kepada perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana dalam sektor yang terkesan dan jumlah sokongan yang diberikan kepada individu dan keluarga sebagai “sangat tidak mencukupi”.

Sehubungan itu, mereka turut mencadangkan supaya kerajaan mencari penyelesaian di luar kotak untuk meningkatkan kutipan hasil dan meningkatkan perlindungan sosial terutamanya bagi mereka yang berada di sektor informal serta ekonomi gig. – UTUSAN

PAKEJ RANGSANGAN:

* ESP: RM20 bilion
(27 Februari 2020)
* Prihatin: RM230 bilion
(27 Mac 2020)
* Prihatin SME+: RM10 bilion
(6 April 2020)
* Penjana: RM35 bilion
(5 Jun 2020)
* Kita Prihatin: RM10 bilion
(23 September 2020)
* Permai: RM15 bilion
(18 Januari 2021)
* Pemerkasa: RM20 bilion
(17 Mac 2021)
* Pemerkasa+: RM40 bilion
(31 Mei 2021)
* Pemulih: RM150 bilion
(28 Jun 2021)
**Total tidak termasuk Belanjawan 2021: RM530 bilion

Sumber: REFSA – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN