Sukuk Kelestarian SME Bank catat bidaan akhir RM1.78 bilion - Utusan Malaysia

Sukuk Kelestarian SME Bank catat bidaan akhir RM1.78 bilion

ARIA PUTERA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sukuk Kelestarian pertama SME Bank mendapat sambutan positif apabila dibida lebih 3.56 kali ganda atau RM1.78 bilion daripada jumlah terbitan sebenar sebanyak RM500 juta.

SME Bank memberitahu, pihaknya telah memuktamadkan proses penetapan harga (book building) bagi penerbitan sulung Program Sukuk Wakalah Kelestarian itu pada 21 Julai lalu.

Jelasnya, program Sukuk Wakalah itu terdiri daripada Nota Jangka Sederhana Islamik (IMTN) sehingga RM3 bilion (termasuk Sukuk Kelestarian) dan Kertas Komersial Islamik (ICP) sehingga RM1 bilion dengan had gabungan dalam nilai nominal sehingga RM3 bilion.

“Program Sukuk Wakalah Jaminan Bukan Kerajaan pertama untuk SME Bank ini telah mendapat penarafan AAA oleh MARC dan juga standard Emas untuk Rangka Kerja Sukuk Kelestarian, yang merupakan penarafan tertinggi,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, mengambil kira keadaan pasaran yang mencabar, pihak bank berjaya menetapkan harga penerbitan pada kadar keuntungan sangat kompetifi iaitu sebanyak 3.10 peratus.

Beliau berkata, menariknya, Sukuk Kelestarian itu telah mendapat permintaan luar biasa daripada pelabur domestik dan antarabangsa terdiri daripada institusi kewangan, syarikat pengurusan dana, syarikat insurans dan syarikat berkaitan kerajaan.

Katanya, permintaan yang tinggi itu juga didorong oleh gerakan kesedaran di dalam dan luar negara yang terus menyokong pembangunan seimbang dan lestari, yang menjadi fokus utama Sukuk Kelestarian SME Bank.

“Dengan terbitnya Sukuk Kelestarian ini, pihak bank dapat menawarkan penyelesaian pembiayaan yang lebih inovatif untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan terus memainkan peranan kitaran berbalas (countercyclical) untuk memastikan kejayaan PKS dalam menjadi tonggak pertumbuhan ekonomi negara, menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mewujudkan peluang pekerjaan, di samping dapat memberikan kesan positif kepada masyarakat dan alam sekitar,” katanya.

Menurut Aria, secara umumnya, sektor perbankan yang berkait rapat dengan semua aspek aktiviti ekonomi, boleh menjadi peneraju utama dalam meningkatkan kesedaran dalam kalangan PKS mengenai kepentingan mengamalkan prinsip-prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam operasi perniagaan mereka.

“Ini sangat penting memandangkan ESG telah menjadi kelaziman di persada antarabangsa dan PKS kita tidak sepatutnya ketinggalan sekiranya mereka ingin bersaing di peringkat global,” tambahnya.

SME Bank menjelaskan, fasa pertama dalam perjalanan ESG bank itu adalah dengan memberi kesedaran kepada PKS melalui kemudahan pembiayaan untuk membiayai projek yang memenuhi keperluan ESG.

Fasa kedua pula melibatkan siri perbincangan untuk mendidik pengusaha PKS agar tidak hanya menggunakan pembiayaan untuk memenuhi keperluan ESG, tetapi juga menerapkan
elemen ESG dalam operasi perniagaan secara umum, jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN