PETALING JAYA: Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini, Kumpulan Syarikat PROLINTAS (PROLINTAS) telah mengagihkan sebanyak 700 pek daging korban kepada keluarga asnaf dan golongan B40.
Kumpulan terbabit tinggal berhampiran jajaran lebuh raya seliaan PROLINTAS seperti Ampang, Keramat, Cheras, Kajang, Shah Alam, Subang dan Sungai Buloh.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PROLINTAS, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, aktiviti itu adalah sebahagian agenda tahunan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan setiap tahun sejak PROLINTAS ditubuhkan.
Beliau berkata, PROLINTAS amat prihatin dengan kesusahan masyarakat sekitar yang pada masa ini bergelut dalam mendepani isu-isu semasa berkaitan dengan kekangan pandemik Covid-19.
“Diharapkan dengan sumbangan daging korban ini secara tidak langsung dapat meringankan beban dan menceriakan keluarga penerima dalam meraikan Aidiladha,” katanya dalam kenyataan.
Menurut PROLINTAS, aktiviti pengedaran telah dilakukan dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dengan pengedaran secara berasingan oleh kakitangan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Lebuhraya Kajang SILK (SILK), Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).
“Program ini juga sedidik sebanyak diharap dapat membantu komuniti yang berada di dalam lingkungan jajaran lebuh raya PROLINTAS yang terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya. – UTUSAN










