PETALING JAYA: Pembentukan Modal Tetap Kasar (PMTK) negara merosot 14.5 peratus tahun lalu kepada RM281.1 bilion (harga malar) akibat pandemik Covid-19 yang mempengaruhi pelaburan aset bagi semua aktiviti ekonomi.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kemerosotan itu merupakan penyusutan terbesar sejak Krisis Kewangan Asia pada 1998 yang mana PMTK menyusut 43 peratus.
“Pengurangan yang berterusan dalam pelaburan aset tetap akan mendorong kepada kapasiti pengeluaran yang lebih rendah pada masa hadapan dan seterusnya mengganggu pertumbuhan potensi output.
“Senario kemerosotan PMTK ini turut dialami oleh ekonomi utama dunia dan negara serantau termasuk Singapura, Thailand dan Indonesia,” katanya dalam kenyataan.
PMTK merupakan komponen kedua terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang menyumbang 20.9 peratus daripada keseluruhan ekonomi.
Menurut Jabatan Perangkaan, PMTK bagi sektor perkhidmatan menyusut kepada 12.5 peratus berbanding 1.6 peratus pada tahun sebelumnya.
Mohd. Uzir menjelaskan, penyusutan dalam sektor itu dipengaruhi oleh pengangkutan dan penyimpanan serta maklumat dan komunikasi yang merosot 24.9 peratus sementara kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan susut 10.9 peratus.
“PMTK bagi sektor pembuatan menurun 17.1 peratus berbanding kejatuhan 10 peratus pada tahun sebelumnya. Prestasi lemah bagi sektor ini disebabkan oleh produk petroleum, kimia, getah dan plastik yang jatuh 24.4 peratus.
“Produk elektrik, elektronik dan optikal serta peralatan pengangkutan turut memperlahankan prestasi keseluruhan sektor pembuatan dengan penyusutan 17.2 peratus.
“Tambahan pula, produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka serta produk tekstil dan kayu masing-masing menguncup 15.1 peratus dan 7.8 peratus,” katanya.
Mohd. Uzir turut memaklumkan, PMTK bagi sektor perlombongan dan pengkuarian menyusut 25.4 peratus daripada penurunan 9.3 peratus pada tahun sebelumnya.
Begitu juga dengan sektor pembinaan yang jatuh 2.2 peratus, lebih rendah berbanding kejatuhan 1.3 peratus pada tahun sebelumnya.
“Pada 2020, sektor pertanian menguncup 8.8 peratus berbanding 0.1 peratus pada 2019 disebabkan oleh prestasi yang lemah bagi kesemua subsektor,” katanya. – UTUSAN










