PETALING JAYA: OYO berjaya mengumpukan pendanaan Pinjaman Bertempoh B (TLB) berjumlah AS$660 juta (RM2.77 bilion) daripada institusi global.
Menurut OYO, tawaran itu telah terlebih langganan sebanyak 1.7 kali dan syarikat menerima komitmen hampir AS$1 bilion (RM4.20 bilion) daripada pelabur institusi terkemuka.
Jelasnya, tawaran itu telah ditingkatkan sebanyak 10 peratus kepada AS$660 juta (RM2.77 bilion), memandangkan terdapat minat yang kukuh daripada para pelabur walaupun serangan virus Covid-19 terus meningkat.
Katanya, kadar margin faedah turut diturunkan sebanyak 25 mata asas daripada Panduan Harga Permulaan.
“Syarikat akan menggunakan dana ini untuk melupuskan hutang berkos lebih tinggi, mengukuhkan lagi penyata kira-kira dan lain-lain tujuan perniagaan termasuklah pelaburan dalam teknologi produk,” katanya dalam kenyataan.
OYO berkata, agensi penarafan Moody’s dan Fitch masing-masing telah membuat penarafan B3, dan B-, memberikan gambaran yang stabil, untuk pinjaman bercagar kanan OYO, berdasarkan model perniagaan syarikat yang kukuh dan profil kewangan yang berdaya tahan dengan potensi besar untuk terus berkembang.
Mengulas perkembangan itu, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan OYO, Abhishek Gupta berkata, ia bukti kepada kekuatan dan kejayaan produk OYO pada skala besar, asas yang kukuh dan potensi syarikat yang bernilai tinggi.
“OYO memiliki modal yang cukup dan berada di atas landasan yang betul ke arah mencapai keuntungan. Dua pasaran terbesar kami telah menunjukkan keuntungan apabila wujud tanda-tanda pemulihan industri daripada pandemik Covid-19,” katanya.
Tambahnya, JP Morgan, Deutsche Bank dan Mizuho Securities bertindak sebagai pengatur utama untuk pembiayaan itu.
OYO membawakan pelbagai produk teknologi yang mendorong penjanaan hasil dan keuntungan segera dan mampan, disokong oleh kecekapan operasi kepada rakan kongsinya di India dan seluruh dunia.
Produk-produk OYO termasuklah CO-OYO, OYO OS, OYO YO!, OYO Tariff Manager, OYO Secure, OYO Wizard dan Aplikasi OYO yang berorientasikan pengguna, antara lainnya. Dengan lebih 91 juta muat turun, Aplikasi OYO adalah di antara 3 aplikasi pelancongan paling popular (suku tahun pertama 2021) di dunia.
OYO OS digunakan oleh lebih 96 peratus rakan kongsi dan kakitangan hartanah OYO di seluruh dunia untuk tujuan daftar masuk dan operasi harian. – UTUSAN










