PETALING JAYA: McDonald’s Malaysia meraikan 65,000 penghantar makanan di seluruh negara dengan set hidangan Quater Pounder dengan keju sebagai tanda penghargaan atas penat lelah mereka bekerja sepanjang tempoh Perintak Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut McDoland’s, usaha itu sebahagian daripada kempen #LekLuMcDBelanja #RiderKu untuk mengajak rakyat Malaysia turut serta menzahirkan penghargaan kepada semua penghantar makanan yang bertungkus lumus memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati hidangan dengan selamat dan sampai tepat pada masanya.
Bersempena inisiatif #LekLuMcDBelanja itu, penghantar makanan daripada FoodPanda, GrabFood, DeliverEat dan perkhidmatan McDelivery (MDS) layak mendapatkan set hidangan percuma Quarter Pounder dengan Keju antara pukul 2 hingga 5 petang kelmarin, di restoran McDonald’s seluruh negara.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata, penghantar makanan seringkali menjadi orang terakhir untuk makan, lebih-lebih lagi ketika
sibuk memenuhi permintaan penghantaran pada waktu makan dan waktu puncak.
“Mereka terpaksa melepaskan waktu makan dan hanya makan selepas semua pesanan telah dihantar. Sesungguhnya, penghantar makanan memainkan peranan penting dalam menghubungkan kedai makanan dan minuman dengan orang ramai bagi memastikan perniagaan mereka terus berjalan lancar.
“Terima kasih kepada mereka, rakyat Malaysia dapat menikmati hidangan kegemaran mereka di rumah masing-masing dalam keadaan selesa dan selamat,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN










