Kurangkan kos operasi KLIA RM50 juta setahun - Utusan Malaysia

Kurangkan kos operasi KLIA RM50 juta setahun

CESSB akan menaik taraf loji berkuasa gas sedia ada kepada loji yang menggunakan elektrik sepenuhnya agar dapat menghasilkan tenaga penyejukan dengan lebih efisien dan mengurangkan kos operasi KLIA sehingga lebih RM50 juta setahun. - GAMBAR/TNB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cooling Energy Supply Sdn. Bhd. (CESSB) telah memulakan operasi dan penyelenggaraan loji penyejukan daerah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1 Julai lalu.

CESSB adalah syarikat usahasama (JV) antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB). Ia ditubuhkan tahun lalu bagi membekal tenaga elektrik dan penyejukan kepada lapangan terbang tersebut.

Menurut TNB, CESSB akan menaik taraf loji sedia ada yang berkuasa gas kepada loji menggunakan elektrik sepenuhnya.

“Loji tersebut akan menghasilkan tenaga penyejukan dengan lebih efisien seterusnya mengurangkan kos operasi KLIA sehingga lebih RM50 juta setahun,” katanya dalam kenyataan.

Jelas TNB, di bawah Perjanjian Konsesi 20 tahun yang dimeterai kedua-dua pihak, CESSB akan mengendalikan, menyelenggara dan menaik taraf loji penyejukan daerah sedia ada yang
merupakan antara terbesar di Malaysia.

Syarikat usaha sama itu juga akan menjual, mengagih, dan membekalkan tenaga elektrik dan penyejukan kepada pelanggan di KLIA dan sekitarnya menggunakan teknologi yang moden, efisien dan berdaya harap, katanya.

Anak syarikat milik penuh TNB, TNB Engineering Corporation Sdn Bhd (TNEC) memiliki 70 peratus ekuiti dalam CESSB, manakala bakinya dipegang oleh anak syarikat milik penuh MAHB, Airport Ventures Sdn. Bhd.

LIM FU YEN

Pengerusi TNEC, Lim Fu Yen berkata, kerjasama antara TNB dan MAHB melalui CESSB menyerlahkan aspirasi TNB untuk menjadi pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan di
Malaysia dan antarabangsa.

“Kami yakin kerjasama ini akan menyumbang dengan ketara dan positif terhadap kepuasan pelanggan bagi penumpang-penumpang yang menggunakan KLIA,” katanya.

Menurut TNB, kerjasama itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan syarikat dalam mempromosi dan membekalkan solusi tenaga mampan kepada pelanggan, selaras dengan aspirasi untuk meningkatkan kualiti kehidupan menerusi solusi yang inovatif dan mampan untuk dunia yang lebih baik.

Katanya, usaha sama itu adalah peristiwa penting bukan sahaja bagi TNB dan MAHB, malah untuk Malaysia kerana ia memodenkan loji penyejukan daerah di KLIA dan menyatukan keperluan tenaga di bawah pembekal yang sama memandangkan TNEC juga membekalkan tenaga elektrik dan penyejukan untuk KLIA2. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN