PETALING JAYA: Malaysia akan menurunkan unjuran pertumbuhan ekonominya tahun ini disebabkan sekatan pergerakan yang dilaksanakan bagi membendung jangkitan Covid-19.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, unjuran semasa pada enam peratus hingga 7.5 peratus mungkin akan diturunkan sehingga sekitar empat peratus bulan hadapan.
Beliau berkata, walaupun peningkatan kes ketika ini dijangka dapat dibendung dan sekatan pergerakan dapat dilonggarkan, kerajaan masih menjangkakan keluaran dalam negara yang lebih rendah.
“Kami sedang mengkaji jumlah (peratusan) yang lebih rendah dan akan berkongsi jumlah tepatnya apabila datanya dapat dikumpulkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam wawancaranya bersama Bloomberg TV.
Tengku Zafrul yang pada minggu lalu dilantik sebagai menteri penyelaras untuk Pelan Pemulihan Negara (PPN) turut berkata, kerajaan kini sedang merancang untuk pembukaan sektor ekonomi.
“Kami kini di penghujung fasa pertama (PPN) dan sedang membuka lebih banyak sektor. Tujuh negeri kini sudah dalam fasa kedua.
“Fokus kami hari ini adalah untuk membuka ekonomi dengan selamat. Ia sebuah pelan yang dinamik dan tangkas,” katanya.
Selain itu, menurut Zafrul, kerajaan juga akan membawa usul meningkatkan had siling nisbah hutang negara kepada KDNK dalam persidangan Parlimen akan datang.
Katanya, had tersebut akan ditingkatkan daripada 60 peratus ketika ini kepada 65 peratus.
“Keperluan fiskal kami akan disokong oleh tiga faktor iaitu peningkatan hasil daripada syarikat, entiti dan badan berkanun kerajaan, rasionalisasi perbelanjaan serta pinjaman tambahan.
“Masih ada kecairan yang cukup dalam pasaran untuk pinjaman bagi memastikan kami mampu membiayai pakej rangsangan,” katanya.
Tengku Zafrul turut menjelaskan bahawa defisit fiskal dijangka akan melebar kepada 6.5 peratus sehingga tujuh peratus, berbanding unjuran semasa pada enam peratus. – UTUSAN










