PETALING JAYA: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menjalinkan kerjasama dengan gergasi teknologi, Google Malaysia dan pemain industri kewangan Islam terkemuka, Bank Islam Malaysia Berhad untuk memacu eksport perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.
Kerjasama itu dimeterai dalam Hari Eksport Kebangsaan (eNED@2021), acara tahunan anjuran Matrade yang diadakan secara maya hari ini.
Pengerusinya, Tan Sri Dr. Halim Mohammad berkata, Matrade meraikan norma baharu dengan mengubah pendekatannya untuk mendapatkan sokongan yang lebih tangkas dan meningkatkan aktiviti promosi bagi memastikan syarikat-syarikat Malaysia terus kompetitif.
“Tahun ini, eNED menawarkan lebih nilai kepada peserta apabila mengangkat pandangan-pandangan utama untuk memandu pengeksport dalam bidang pengewangan, kemampanan, pendigitalan, peluang pasaran dan isu-isu berkaitan perdagangan semasa.
“Topik-topik ini dipilih secara berhati-hati untuk memberi keterujaan kepada pengeksport dalam membayangkan masa hadapan mereka selepas Covid-19,” katanya dalam ucapan pembukaannya dalam majlis itu.
Acara itu turut dihadiri Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong; Pengarah Urusan Google Malaysia, Marc Woo dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed.
Ban Hong dalam ucaptamanya berkata, beliau yakin bahawa eNED@2021 akan menyediakan platform yang berkesan dalam norma baharu untuk menyampaikan pengetahuan dan kaedah teknikal berkenaan peluang dan strategi eksport melalui perbincangan yang membina dan penuh penglibatan perniagaan.
“Dengan sinergi yang sedang digerakkan, saya pasti pemulihan berterusan eksport Malaysia dapat terjadi, yang akhirnya membina daya tahan ekonomi negara,” katanya.
Sementara itu, Marc Woo berharap kerjasama dengan Matrade membolehkan Google Malaysia membantu menghasilkan perniagaan tempatan yang lebih bersedia untuk eksport agar dapat memanfaatkan peluang perdagangan global yang semakin bertambah.
“Di Google, kami percaya teknologi memainkan peranan penting dalam membantu syarikat mengadaptasikan pendekatan mereka bagi menyesuaikan diri dalam persekitaran perniagaan yang berevolusi.
“Kami teruja untuk menjalankan lebih banyak inisiatif di bawah kerjasama baharu ini dengan Matrade, dengan tujuan membantu lebih banyak perniagaan Malaysia ke peringkat antarabangsa,” katanya. – UTUSAN










