Dasar, program perlu ikut kesesuaian sektor - Utusan Malaysia

Dasar, program perlu ikut kesesuaian sektor

ABDUL WAHID OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIDANG KEMUNCAK EKONOMI MALAYSIA 2021

PETALING JAYA: Dasar dan program yang bersesuaian perlu dilakukan untuk menyokong sektor dan wilayah ekonomi yang lebih teruk terjejas akibat pandemik Covid-19 dan sekatan pergerakan berterusan.

Pengerusi Kelab Ekonomi Kuala Lumpur, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, usaha itu lebih membantu kerana pandemik telah memberi kesan tidak sekata kepada pelbagai sektor di kawasan yang berlainan.

“Sebagai contoh, sektor makanan dan minuman (F&B) di wilayah utara mengalami kadar penutupan lebih tinggi di mana vendor bergantung kepada pelancong dari Lembah Klang. Sektor pembuatan lain pula turut mengalami kadar penutupan yang tinggi di Sabah dan Sarawak.

“Saya percaya ada keperluan untuk penyesuaian dasar dan program bagi membolehkan sektor atau wilayah mana yang lebih banyak memerlukan sokongan dikenal pasti.

“Jadi, di kala kita bergerak ke hadapan, kita berharap langkah yang lebih bersasar dapat diaplikasikan,” katanya dalam ucapan alu-aluan Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia 2021 anjuran anjuran Strategic Institute for Asia Pacific (KSI), secara maya semalam.

Abdul Wahid memaklumkan, peningkatan kadar vaksinasi negara yang sedang berlangsung akan membantu mempercepat penarikan balik sekatan seterusnya menyelamatkan ekonomi dan kehidupan rakyat.

“Pada kadar 337,000 vaksin sehari, sebanyak 70 peratus rakyat Malaysia telah divaksinasi dalam tempoh 100 hari atau menjelang Oktober ini.

“Justeru, seiring peningkatan kadar vaksinasi, kami berharap sekatan pergerakan penuh dapat ditarik balik lebih cepat dan kerajaan dapat melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar di kawasan yang tinggi kadar jangkitannya sahaja,” ujarnya.

Walaupun terdapat banyak keluhan bahawa pakej rangsangan yang diberikan tidak mencukupi, Abdul Wahid menjelaskan tanpa pengenaan cukai yang meluas seperti cukai barangan dan perkhidmatan, sumber kerajaan agak terbatas.

“Defisit fiskal sudah berada pada tahap tinggi iaitu 6.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020 dan dijangka akan terus meningkat kepada 6.8 peratus tahun ini, berbanding unjuran rasmi sebelumnya sebanyak enam peratus.

“Ini adalah tindakan penyeimbangan yang teliti, tetapi defisit fiskal dan paras hutang kerajaan yang tinggi mungkin membawa kepada risiko penurunan penarafan kredit, seterusnya mengakibatkan kos pinjaman yang lebih tinggi dan berpotensi melemahkan mata wang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan pentingnya penggunaan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk perniagaan kerana persekitaran pasaran tetap tidak stabil dan mencabar.

“Sudah ada data mencukupi yang menunjukkan organisasi dengan penerapan prinsip kelestarian dan ESG dapat menguruskan risiko dan perubahan pasaran dengan lebih baik,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN