PETALING JAYA: Principal Asset Management Berhad (Principal) memperkenalkan Principal Islamic Global Selection Series (Islamic Global Series), dengan tiga dana aset bercampur yang diatur khas berdasarkan profil risiko pelabur untuk menyediakan pendapatan dan peningkatan modal jangka masa panjang.
Islamic Global Series merupakan penyelesaian patuh shariah menyeluruh Principal yang kini menawarkan tiga dana pilihan.
Dana-dana individu tersebut iaitu, Principal Islamic Global Selection Moderate Conservative Fund, Principal Islamic Global Selection Moderate Fund, dan Principal Islamic Global Selection Aggressive Fund.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Principal, Munirah Khairuddin, Islamic Global Series membolehkan pelanggan mempelbagaikan pelaburan ke dalam kelas-kelas aset yang patuh shariah untuk pulangan berdasarkan kelas risiko terbaik, sementara memanfaatkan kepakaran yang ditawarkan oleh pengurus dana di seluruh dunia.
Beliau berkata, dalam tempoh yang tidak menentu seperti sekarang, dana patuh shariah mampu memberikan pulangan yang stabil dan tekal.
“Ini terbukti sewaktu wabak SARS pada 2003 dan krisis kewangan global 2008-2009. Sementara kita terus memberi penekanan tentang pendidikan dan penyelesaian yang berkesan, Principal menggambarkan konsep kepelbagaian melalui analogi kotak coklat di mana setiap coklat itu berbeza kepekatannya; semakin tinggi kandungan coklat asli, semakin agresif portfolio dana tersebut.
“Dengan permintaan yang meningkat untuk pelaburan patuh shariah dalam waktu yang tidak menentu akibat pandemik ini, Principal cekal memikirkan bagaimana kami mampu memperhalusi pengalaman para pelabur,” katanya dalam kenyataan.
Principal Islamic Global Selection Moderate Conservative Fund, Principal Islamic Global Selection Moderate Fund, dan Principal Islamic Global Selection Aggressive masing-masing akan diurus diantara julat risiko antara tiga peratus ke lima peratus, enam peratus ke sembilan peratus dan 10 peratus setahun, katanya.
Beliau berkata, dengan peruntukan aset yang membayangkan sasaran risiko, setiap dana akan menawarkan pembayaran dividen dan pendapatan yang berlainan.
Direka sebagai dana pendapatan dan pertumbuhan, sebanyak 20 peratus Nilai Aset Bersih (NAV) setiap dana akan dilaburkan ke dalam sukuk gred bukan pelaburan.
“Penyertaan minimum untuk pembukaan pelaburan untuk kelas MYR diletakkan pada RM500 sebagai pelaburan pembukaan dan pelaburan minimum tambahan ialah RM50. Untuk kelas USD pula, minimum untuk pembukaan pelaburan ialah diletakkan pada USD1,000 dan pelaburan minimum tambahan ialah USD100,” jelasnya. – UTUSAN










