PETALING JAYA: Cagamas Berhad mengumumkan penerbitan Kertas Komersial Islamik (ICP) tiga bulan bernilai RM300 juta yang akan diterbitkan di bawah struktur Murabahah Komoditi Islamik.
Menurut perbadanan gadai janji nasional itu, hasil daripada terbitan itu akan digunakan untuk pembelian aset patuh syariah.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Chung Chee Leong berkata, pihaknya gembira dengan penerbitan tersebut yang memperlihatkan minat berterusan terhadap terbitan jangka pendeknya.
Kata beliau, unjuran pertumbuhan global ketika ini masih tidak menentu disebabkan kebimbangan terhadap pemulihan ekonomi yang menunjukkan tanda-tanda kemerosotan ketika kes jangkitan Covid-19 terus melonjak, akibat kemunculan varian baharu.
Secara domestik juga, kata beliau, pelabur masih berhati-hati akibat kekurangan pemangkin yang kukuh dalam pasaran berpunca daripada ketidaktentuan situasi pandemik dan kemajuan proses vaksinasi.
“Harga ICP ini ditetapkan sejajar dengan Kadar Ditawar Antara Bank Kuala Lumpur (KLIBOR) tambah lima mata asas (bps), atau bersamaan dengan 1.99 peratus berasaskan ketetapan KLIBOR pada tarikh harga.
“Sebarannya 23 bps di atas Bil Perbendaharaan Islam Malaysia sepadan,” katanya dalam kenyataan dekat sini.
Januari lalu, Cagamas mengumumkan penerbitan agregat bernilai RM710 juta merangkumi ICP sejumlah RM300 juta dan Kertas Komersial Konvensional (CCP) sebanyak RM300 juta.
Ia juga termasuk Nota Jangka Sederhana Konvensional (CMTN) Setahun RM55 juta dan juga CMTN tiga tahun pada kadar RM55 juta.
Hasil daripada terbitan tersebut akan digunakan untuk membiayai pembelian pembiayaan rumah, pinjaman perumahan dan sewa beli industri daripada sistem kewangan.
Menurut Cagamas, terbitan terbaharu itu menjadikan terbitan agregatnya untuk tahun ini adalah sebanyak RM8.45 bilion.
Katanya, terbitan itu yang akan ditebus pada nilai nominal penuhnya apabila matang merupakan obligasi tidak bercagar syarikat yang bertaraf pari passu bersama semua obligasi tidak bercagar lain untuk syarikat itu.
“Ia akan disenaraikan dan boleh didagangkan di bawah Sistem Dagangan Sekuriti Tanpa Skrip (SSTS),” katanya. – UTUSAN










