PETALING JAYA: Anugerah Diraja Kewangan Islam yang dianjurkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di bawah inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC), telah mengeluarkan Buku Kecil Peringatan Pemenang Anugerah Diraja kedua.
Buku kedua itu menampilkan penerima Anugerah Diraja 2016, Prof. Datuk Rifaat Ahmed Abdel Karim yang merupakan Setiausaha Agung pertama Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Likuiditi Islam Antarabangsa.
Buku kecil yang pertama telah diterbitkan pada Januari lalu, menampilkan penerima Anugerah Diraja 2018 Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.
BNM dalam satu kenyataan berkata, buku kecil terbaharu itu memuatkan profil, pencapaian dan sumbangan Rifaat dalam industri kewangan Islam Global.
“Buku itu mempamerkan karya dan pencapaian penerima anugerah serta mengabadikan bagaimana setiap penerima yang dipilih mengharungi cabaran mereka sehingga akhirnya, membawa manfaat yang signifikan dan berterusan kepada industri kewangan Islam global.
“Kualiti kepimpinan dan sumbangan beliau yang boleh menjadi contoh kepada pembangunan industri perkhidmatan kewangan membabitkan peranan berperantaraan dalam mewujudkan dua badan penetapan standard antarabangsa, Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam dan IFSB,” katanya.
Bank pusat itu memberitahu, buku kecil berkenaan turut memuatkan koleksi ucapan Rifaat, bekas Gabenor BNM, Tan Sri Muhammad Ibrahim; bekas Pengerusi SC, Tan Sri Ranjit Ajit Singh serta ketua juri, Tun Musa Hitam.
e-buku kecil itu boleh dilayari di Royal Award, bnm.gov.my/raifbooklet, MIFC, bnm.gov.my/raifmifc dan portal lain yang berkaitan untuk rujukan umum. – UTUSAN










