Benarkan hotel terima tetamu yang telah divaksin penuh - Utusan Malaysia

Benarkan hotel terima tetamu yang telah divaksin penuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Industri hospitaliti yang mengalami kerugian kira-kira RM300 juta setiap dua minggu akibat pandemik dan sekatan perjalanan berterusan, tidak mampu untuk menunggu sehingga jumlah kes di seluruh negara berada pada paras yang terkawal.

Ketua OYO Malaysia dan Singapura, Tan Ming Luk berkata, ini melihat kepada kesukaran dalam mengekang peningkatan zon merah atau menantikan 60 peratus penduduk menerima suntikan lengkap vaksin.

Beliau berkata, jika dikira berdasarkan kepada garis masa pemberian vaksin terkini, dianggarkan bahawa sasaran 60 peratus penduduk yang lengkap menerima dua dos vaksin hanya akan tercapai seawal-awalnya menjelang penghujung Oktober.

“Itupun jika pemberian vaksin harian boleh dikekalkan pada 300,000 dos atau lebih.

“Hingga ke hari ini, hanya kira-kira 21 peratus penduduk telah menerima dos pertama mereka dan kurang daripada 10 peratus telah divaksinasi sepenuhnya.

“Pelancongan adalah penyumbang ketiga terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, selepas pengilangan dan komoditi, menyumbang RM86.14 bilion kepada ekonomi Malaysia pada 2019. Sejak bermulanya pandemik ini, keseluruhan industri pelancongan Malaysia telah pun mengalami kerugian berjumlah RM100 bilion,” katanya dalam kenyataan.

Ming Luk berkata, OYO berpendapat bahawa corak pemikiran perlu diubah daripada apa yang tidak boleh dibenarkan kepada apa yang boleh kita benarkan iaitu aktiviti berisiko rendah.

Beliau berkata, Malaysia sepatutnya boleh meniru Thailand dalam menjayakan inisiatif seperti Phuket Sandbox, tetapi dengan lebih meluas di peringkat kebangsaan, dan membenarkan hotel menerima tetamu yang telah divaksin sepenuhnya.

Katanya, kerajaan Thailand menjangkakan kira-kira 100,000 pelancong asing akan melawat Phuket pada suku ketiga tahun ini dan menjana pendapatan 8.9 bilion Baht (AS$278 juta/RM1.16 bilion), di mana Malaysia juga perlu membuat sasarannya sendiri.

“Penangguhan pembukaan hotel akan terus mengancam kemandirian industri, menjejaskan kehidupan setiap pekerja di dalam sektor itu, terutama sekali di negeri-negeri yang amat bergantung kepada pelancongan sebagai penyumbang ekonominya.

“Kenapa perlu industri hospitaliti di Malaysia, yang mencatatkan hampir sifar kluster, terpaksa menanggung akibat ketidakbertanggungjawaban pihak lain?,” soalnya.

Ming Luk berpendapat, Malaysia perlu merancang semula strategi membendung Covid-19 dengan menggunakan pendekatan yang lebih bersasar dan bukannya menggunakan sekatan menyeluruh, memandangkan jumlah kes harian tidak mencatatkan penurunan yang signifikan walaupun selepas sebulan sekatan perjalanan menyeluruh dilaksanakan.

“Keadaan ini sememangnya amat memeritkan terutama sekali di dalam sektor hospitaliti yang banyak bergantung kepada keupayaan untuk merentas di antara negeri, di mana negeri-negeri yang hanya mencatatkan sedikit kes seolah-olah menjadi tebusan yang bergantung kepada prestasi negeri-negeri yang ramai penduduknya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN